HENRY B SIYU
MUKAH: Minyak masak bungkus menjadi pilihan penduduk tempatan kebelakangan ini kerana harganya lebih murah berbanding minyak masak dalam botol.
Senario tersebut kelihatan lebih terserlah ketika ini kerana kebiasaannya permintaan akan mendadak sepanjang bulan Ramadan.
Difahamkan pihak Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekali gus menjadi salah tumpuan semasa menjalankan pemantauan barang di kedai-kedai di sini.
Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah, Salihin Din, menyatakan bahawa minyak masak paket atau bungkus mendapat sambutan yang cukup tinggi daripada pengguna.
“Memang diakui pengguna-pengguna tempatan menjadikan minyak masak bungkus sebagai pilihan, apatah lagi musim perayaan atau bulan Ramadan seperti ini,” ujarnya.
Justeru, bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi, KPDNHEP akan sentiasa memantau penjualan minyak masak bungkus.
Salihin berkata demikian ketika ditemui setelah membuat Pemeriksaan Bersama Media Sempena Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 dan Menjelang Bulan Ramadan di sebuah kedai di bandar baharu Mukah pada Khamis lalu.
Sementara itu, pemilik sebuah kedai runcit, Tay Aik Seng, juga menganggap harga yang lebih murah mungkin membuat minyak masak bungkus menjadi rebutan orang ramai.
“Saya
melihat penduduk tempatan tak kira masa
perayaan, mereka tetap memilih minyak bungkus mungkin kerana harganya lebih
murah. Apatah lagi musim bulan puasa begini,” katanya.
Kedai runcit milik bekas Kapitan Cina
ini adalah antara 10 kedai di Bahagian Mukah yang digelarkan “Dedicated Retailers-Kedai Runcit
Terpilih (DDR)’ oleh KPDNHEP.
Kedai itu juga dipilih sebagai penanda aras stok barang kawalan dan keperluan asas bagi setiap daerah.
Malah suatu ketika, kedai-kedai di bandar ini terpaksa menghadkan penjualan minyak masak bungkus bagi seorang pelanggan.