Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hak Sarawak perlu dihormati, bukan dirunding secara politik
  • TEMPATAN

Hak Sarawak perlu dihormati, bukan dirunding secara politik

Utusan Sarawak 3 weeks ago
KETUA Penerangan Bersatu Sarawak, Alexander Frusis.

KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak menegaskan bahawa hak Sarawak tidak seharusnya dijadikan bahan rundingan politik, sebaliknya mesti dihormati berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

Ketua Penerangan Bersatu Sarawak, Alexander Frusis berkata sokongan penuh diberikan terhadap tindakan kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penentuan berhubung keabsahan serta pemakaian undang-undang persekutuan berkaitan industri petroleum di negeri itu.

Menurut beliau, langkah tersebut bukan bertujuan mencetuskan konfrontasi, sebaliknya merupakan pendekatan berprinsip bagi mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, hak negeri terhadap sumber asli termasuk minyak dan gas dalam sempadan yang telah ditetapkan sebelum pembentukan Malaysia adalah perkara asas yang tidak seharusnya dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Beliau menegaskan bahawa sebarang isu yang menyentuh kedaulatan hak perlembagaan negeri perlu ditangani secara jelas dan menyeluruh bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan.

“Ketidakjelasan dari sudut perundangan bukan sahaja menimbulkan persoalan pentadbiran, malah boleh memberi kesan kepada keyakinan pelabur serta perkembangan ekonomi negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan usaha mendapatkan kepastian undang-undang itu bukanlah bertujuan melemahkan Kerajaan Persekutuan atau mana-mana institusi nasional.

Sebaliknya, jelas beliau, langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada proses memperkukuh struktur federalisme negara supaya lebih seimbang, adil dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

Alexander berkata keputusan Mahkamah Persekutuan kelak dijangka memberi implikasi besar bukan sahaja kepada Sarawak, malah terhadap keseluruhan landskap pengurusan sumber tenaga negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak mempolitikkan isu berkenaan secara sempit.

Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak merupakan rakan pengasas Malaysia dan hak-haknya perlu dihormati selaras dengan semangat penubuhan Persekutuan, demi memastikan kestabilan nasional serta kemakmuran bersama rakyat negara ini terus terpelihara.

Oleh Adi Safarman

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: JBALB Sarawak nafi dakwaan air tercemar di Sri Aman
Next: PAVB anggap petisyen Sarawak langkah penting lindungi masa depan negeri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.