
SIBU: Dua pengendali premis yang terlibat dalam insiden rumah kedai runtuh di Lorong Pahlawan 7A dibenarkan memasuki semula bangunan masing-masing pagi tadi, bagi mengambil barangan berharga melalui pelaksanaan protokol pengambilan terkawal.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pakar geoteknikal serta pemilik premis terlibat.
Menurutnya, sebelum ini pihak berkuasa tidak membenarkan mana-mana pemilik atau penyewa memasuki semula bangunan berkenaan atas faktor keselamatan.
“Bagaimanapun, dua pengendali premis membuat rayuan kerana perlu mengambil barangan penting yang berkait rapat dengan operasi perniagaan masing-masing.
“Selepas meneliti pelan tindakan yang dikemukakan serta mendapatkan pandangan profesional, kami membuat keputusan yang amat sukar untuk membenarkan operasi pengambilan dijalankan secara terkawal pada 6.30 pagi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, polis dan bomba mengesahkan bangunan tersebut tidak selamat serta tidak menyokong kemasukan semula, namun keputusan dibuat selepas mempertimbangkan semua faktor, nasihat profesional dan kepentingan berkaitan.
Katanya, operasi hanya melibatkan dua kedai di tingkat bawah bahagian tengah bangunan daripada lapan premis yang diperiksa selepas didapati berada dalam keadaan lebih stabil.
“Setakat ini hanya tingkat bawah dibenarkan. Penyewa atau pemilik di tingkat atas masih tidak dibenarkan masuk kerana faktor keselamatan,” jelasnya.
Tiang berkata, kedua-dua pemilik premis diwajibkan menandatangani surat pelepasan liabiliti sebelum memasuki bangunan sebagai pengesahan bahawa kemasukan dibuat atas risiko sendiri.
Menurutnya, semua kerja pengambilan barangan termasuk penggunaan kren, kontraktor dan treler merupakan operasi persendirian pemilik premis, manakala pihak berkuasa bertindak sebagai penyelia bagi memastikan keselamatan awam tidak terjejas.
“Polis dan bomba berada di lokasi untuk memantau prosedur kemasukan semula. Inilah yang kita panggil sebagai protokol pengambilan terkawal,” katanya.
Beliau berkata, operasi berjalan lancar dan kawasan berkenaan kekal ditutup serta dikawal rapi oleh pihak polis, dengan tiada kemasukan lain dibenarkan buat masa ini.
Individu atau pemilik premis yang ingin membuat rayuan lanjut boleh menghubungi Pengerusi MPS, Clarence Ting, untuk pertimbangan berdasarkan justifikasi kukuh, sambil menegaskan keselamatan orang awam kekal menjadi keutamaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tiang memaklumkan bangunan tersebut mempunyai Permit Menduduki (OP) dan dibina sekitar tahun 2011.
Katanya, selepas proses pengambilan barangan selesai, langkah seterusnya ialah menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kegagalan struktur bangunan.
“Kami akan melibatkan jurutera geoteknikal dan pakar berkaitan untuk menjalankan siasatan terperinci. Proses ini akan mengambil masa berbulan-bulan kerana memerlukan pemerhatian berterusan,” katanya.
Menurutnya, selepas punca dikenal pasti, proses perobohan bangunan akan dilaksanakan oleh pemilik dengan kos ditanggung sendiri, dan pemilik masih berpeluang mengambil baki barangan semasa kerja perobohan dijalankan.
Tambahnya, isu liabiliti hanya akan ditentukan selepas semua siasatan selesai dan maklumat mencukupi diperoleh.
“Sesiapa yang didapati bertanggungjawab terhadap insiden ini perlu berdepan tindakan undang-undang,” tegasnya.
Menurut, sejak insiden berlaku, semua tindakan dilaksanakan secara telus dengan penglibatan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses berjalan secara profesional dan selamat.
Oleh Akun Giman