
SARATOK: Projek pembinaan jambatan baharu di Jalan Moh Seng yang telah siap sepenuhnya memberi kelegaan kepada penduduk setempat yang sebelum ini berdepan kesukaran menggunakan jambatan lama terutama ketika musim tengkujuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, kemudahan infrastruktur seperti itu amat penting bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan penduduk di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, projek bernilai RM500,000 itu dilaksanakan bagi menggantikan jambatan lama yang sering tenggelam apabila paras air meningkat setiap kali banjir melanda kawasan tersebut.
Katanya, dengan siapnya jambatan baharu itu, penduduk Jalan Moh Seng kini tidak lagi perlu bimbang untuk berulang-alik menjalankan aktiviti harian termasuk ke tempat kerja, sekolah dan urusan lain.
Lawatan tapak projek siap berkenaan telah diadakan pada pagi tadi melibatkan Pusat Khidmat DUN Krian bersama beberapa agensi kerajaan bagi meninjau sendiri kemudahan yang telah disiapkan.

Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong, Pejabat Residen Bahagian Betong serta Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) selain pihak kontraktor yang melaksanakan projek tersebut.
Friday berkata, projek berkenaan diluluskan melalui peruntukan BDDA sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar.
Beliau menjelaskan kawasan DUN Krian turut menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM200 juta melalui BDDA untuk melaksanakan pelbagai projek yang dikenal pasti berdasarkan keperluan rakyat.
Hadir semasa lawatan tersebut ialah Pegawai Pusat Khidmat DUN Krian James Jimbun yang mewakili ADUN Krian, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong Mohd Radzi, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Betong Kato Dorsie, wakil BDDA serta pemimpin masyarakat setempat termasuk Kapitan Law Phung Seng dan Chiew Pang Siew.
Oleh Adi Safarman