
KUALA LUMPUR: Taekwondo Malaysia (TM) bercadang memperkenalkan disiplin baharu sukan taekwondo iaitu taekwondo maya pada Sukan SEA Malaysia 2027, selain mengekalkan dua disiplin sedia ada iaitu kyorugi dan poomsae.
Pengarah Teknikal TM, R. Dhanaraj berkata, pengenalan disiplin baharu itu berpotensi membuka peluang besar bagi Malaysia menambah koleksi pingat pada temasya sukan dwitahunan edisi ke-34 itu.
“Taekwondo maya menyerupai kyorugi tetapi atlet perlu memakai gajet seperti gogal untuk beraksi. Atlet bertindak sebagai model yang dipaparkan dalam gogal itu.
“Apabila atlet menendang atau menumbuk, figura maya turut meniru pergerakan tersebut. Ia seakan permainan video, tetapi sepenuhnya menggunakan pergerakan fizikal sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasrat memperkenalkan taekwondo maya pada Sukan SEA 2027 juga didorong oleh kejayaan seorang atlet negara memenangi emas pada sebuah kejohanan di Kemboja, bulan lepas.
Katanya, TM turut memperkenalkan idea ini kepada negara-negara serantau, dan rata-rata memberi maklum balas positif mengenai pengenalan disiplin baharu itu pada Sukan SEA akan datang.
Taekwondo maya merupakan sukan tempur tanpa sentuhan, menggunakan penderia penjejak gerakan pada anggota badan seperti paha dan tulang kering untuk menterjemah sepakan dan tangkisan dunia nyata ke dalam persekitaran maya.
Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September, dengan acara-acara bakal diadakan di empat kluster melibatkan Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan lain, Dhanaraj berkata seramai 13 atlet kyorugi negara termasuk pemenang emas Sukan SEA 2023, Muhammad Syafiq Zuber akan menjalani latihan intensif selama sebulan bermula 28 Februari ini di Bangkok.
Katanya latihan tersebut sebagai persiapan atlet berkenaan memburu slot ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, menerusi sesi kelayakan di Mongolia pada Mei ini.
Sukan Asia 2026 dijadualkan berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun bermula 19 September hingga 4 Oktober ini. – Bernama