Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Isu Petros-Petronas: Biar mahkamah tentukan – Mustapha Sakmud
  • SEMASA

Isu Petros-Petronas: Biar mahkamah tentukan – Mustapha Sakmud

Utusan Sarawak 7 hours ago
DITEMUI MEDIA..Datuk Mustapha Sakmud ketika ditemui media pada Majlis Amanat Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sarawak, di Kuching hari ini. Foto JaPEN

KUCHING: Isu tuntutan antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terus menjadi tumpuan selepas timbul spekulasi mengenai kemungkinan rundingan penyelesaian komersial tanpa melalui mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, menegaskan, setakat ini tiada pengesahan rasmi berhubung sebarang rundingan seperti itu.

“Fokus utama kita adalah membiarkan proses undang-undang berjalan mengikut aturannya,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini.

Beliau menekankan bahawa pihaknya menghormati petisyen yang telah difailkan dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan berdasarkan fakta serta lunas undang-undang yang sedia ada.

“Segala tindakan dan keputusan perlu berpandukan perundangan serta fakta yang sah supaya keadilan dapat ditegakkan tanpa sebarang spekulasi,” tambahnya.

Mustapha turut menggesa semua pihak memberi ruang kepada mahkamah untuk menentukan isu ini secara adil dan saksama, sekali gus mengekalkan integriti proses undang-undang di negara ini.

Kerajaan Sarawak sebelum ini memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi mendapatkan penentuan berhubung kesahan beberapa undang-undang petroleum persekutuan yang didakwa menjejaskan hak Sarawak terhadap sumber asli, termasuk minyak dan gas di dasar laut Pelantar Benua dalam sempadan negeri.

Petisyen itu merangkumi Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966, dengan alasan ia melucutkan hak Sarawak terhadap sumber petroleum yang sepatutnya berada di bawah kuasa negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan instrumen perlembagaan bersamanya.

Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang persekutuan ini perlu dipertimbangkan semula kerana beberapa daripadanya pada asalnya hanya terpakai kepada negeri-negeri Tanah Melayu sebelum diperluas ke Sarawak melalui Ordinan selepas Proklamasi Darurat 1969.

Darurat tersebut telah dibatalkan pada 2011, justeru undang-undang berkenaan sepatutnya tidak lagi terpakai di Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Petronas pada 10 Januari 2026 memfailkan permohonan mencabar kesahan beberapa undang-undang negeri yang mengawal selia operasi syarikat itu di Sarawak.

Permohonan tersebut dijadualkan didengar pada 16 Mac 2026. Kerajaan Sarawak berhasrat membantah permohonan ini kerana ia dianggap di luar bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk meneruskan perbincangan konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian yang baik, selaras dengan perpaduan nasional dan kepentingan ekonomi Sarawak.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: Tiada aset, jalan dilaporkan rosak akibat gempa bumi di Sabah – Nanta
Next: MA63 tidak boleh dirunding, kata Setiausaha Agung SUPP

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.