
ISLAM merupakan salah satu agama penting di Sarawak. Agama Islam telah berkembang sejak sebelum kedatangan kuasa Barat ke Sarawak.
Kedatangan kuasa Barat memberi cabaran besar kepada Islam di Sarawak.
Namun umat Islam di Sarawak tidak pernah rapuh dengan cabaran ini. Islam tetap berkembang dan bertahan di Sarawak.
Peranan para pemimpin Melayu merupakan faktor yang dapat melindungi Islam daripada cabaran besar dunia imperialisme Barat.
Selepas Perang Dunia Kedua pula Sarawak masih lagi dibawah pengaruh kuasa Barat.
British mengantikan pemerintahan Brooke untuk memerintah Sarawak sebagai semua koloni. Ramai umat Islam yang tidak bersetuju dengan perubahan ini menentang penjajahan British ini.
Ada juga yang memberi sokongan kepada penyerahan Sarawak kepada British.
Untuk melemahkan sokongan rakyat kepada gerakan menentang penyerahan ini, British melakukan amalan pecah perintah.
Hal ini benar-benar melemahkan gerakan tersebut. Akhirnya berlaku peristiwa berdarah di Sibu pada 1949.
Majlis
Peristiwa ini tidak menjejaskan perkembangan Islam di Sarawak.
Beberapa pemimpin Islam seperti Datuk Bandar Abang Mustapha, Tuanku Bujang dan Datu Abang Openg merupakan pemimpin Melayu yang meneruskan usaha memperkasakan Islam di Sarawak.
Ironinya British memberi ruang kepada penubuhan Majlis Islam di Sarawak pada 1 Mei 1955.

Kebenaran untuk menubuhkan majlis ini seolah-olah satu kebaikan cuba dilakukan oleh British kepada umat Islam di Sarawak.
Namun terdapat juga yang mengatakan bahawa usaha British ini seperti melepas batuk di tangga dan cuba mengaburi mata orang Melayu.
Tanggapan ini berdasarkan pendapat bahawa majlis ini wujud hanya pada nama sahaja.
Kegiatannya pula terbatas kerana tidak diberi sebarang peruntukan kewangan untuk menjalankan aktiviti dakwah Islam. Kakitangannya pula hanyalah berjumlah enam orang.
Aktiviti
Namun demikian semangat penduduk Islam di Sarawak tetap tidak pernah luntur untuk meneruskan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan hal ehwal Islam.
Salah satu acara yang pernah dilakukan oleh orang Islam ini ialah sambutan Maulidur Rasul.
Pada 28 Oktober 1955 acara ini dijalankan dengan melakukan perarakan di Kuching. Perarakan ini dimulakan dari Maderasah Melayu hingga ke Taman Pelajaran, Jalan Haji Taha.
Sampai sahaja di Taman Pelajaran ini satu ucapan telah dibuat oleh Ahmad Zaidi bertajuk Signifikan Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Dalam ucapan Ahmad Zaidi, beliau menyentuh tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW yang membawa agama Islam, sekali gus mengubah sikap dan kehidupan manusia dari aspek rohani, sosial dan moral.
Beliau menambah bahawa untuk melihat sumbangan Nabi Muhammad SAW maka perlu dilihat sejarah ketika baginda dilahirkan.
Pada 1961, orang Islam di Simunjan juga mengadakan perarakan untuk menyambut Maulidur Rasul. Seramai kira-kira 4,000 orang terlibat dalam perarakan tersebut.
Harapan
Harapan untuk membantu pembangunan Islam di Sarawak pernah diutarakan oleh perwakilan Sarawak dalam Seminar Pelajar Islam SeMalaya di Kuala Lumpur.

Persidangan tersebut menghimpunkan bukan sahaja perwakilan dari Tanah Melayu tetapi juga dari negara luar.
Dalam seminar yang berlangsung pada 1961 ini, wakil Sarawak amat mengharap agar saudara mereka di Tanah Melayu dalam membantu memperteguhkan Islam di Sarawak.
Mereka menambah bahawa di Sarawak tidak ada satu badan aktif dalam memperkasakan Islam kecuali Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (PKIS).
Tilawah
Walaupun usaha memperkasakan Islam ini tidak mendapat tempat sewajarnya pada era British tetapi umat Islam di Sarawak sendiri cuba mempergiatkan usaha ini.
Mereka sendiri melakukan aktiviti yang dapat membantu dalam usaha memperteguhkan Islam di Sarawak.
Salah satu aktiviti dijalankan untuk mengimarakkan Islam di Sarawak adalah acara pertandingan membaca al-Quran.
Pada 22 Januari 1961 telah diadakan pertandingan membaca al-Quran untuk qari. Majlis ini diadakan di Masjid Besar Kuching. Ramai penduduk Islam telah menghadiri pertandingan tersebut.
Dalam pertandingan tersebut, seramai 17 orang peserta telah mengikutinya. Bahagian Kuching sahaja menerima 15 penyertaan.
Pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh PKIS dibawah naungan Majlis Islam Sarawak. Seramai tujuh orang hakim telah dilantik untuk mengadili pertandingan tersebut.
PKIS bersedia untuk memberi tempat tinggal kepada peserta dari luar Sarawak. Kekurangan PKIS adalah tidak dapat menyediakan perbelanjaan pengangkutan peserta tersebut.
Satu jawatankuasa pertandingan telah dibentuk untuk mengendalikan majlis pertandingan tersebut, Pengerusi majlis ini adalah Hasbi Sulaiman yang mengalu-alukan penyertaan dari luar Kuching.
Surat jemputan untuk mempelawa peserta luar Kuching telah diedarkan oleh jawatankuasa tersebut.
Pemenang
Dalam pertandingan yang hebat itu telah memilih Abdul Rahman Mohamad sebagai johan. Tempat kedua pula jatuh kepada Mokhtar Junit.
Abdul Rahman Mohamad merupakan johan bertahan selama tiga tahun berturut-turut. Hadiah untuk pemenang ini telah disampaikan oleh Datu Abang Haji Openg.
Kedua-dua pemenang ini menjadi wakil Sarawak dalam pertandingan membaca al-Quran di Kuala Lumpur.
Wakil Sarawak ini akan bertanding bersama-sama dengan pemenang dari negara Asia Tenggara yang berlangsung di bulan puasa.
Sarawak Steamship Co. Ltd telah bersetuju memberi tambang percuma kepada dua pemenang ini untuk ke Kuala Lumpur.
Ketabahan
Dalam usaha memperkukuh perkembangan Islam di Sarawak, masyarakat Islam sering berhadapan dengan kekangan kewangan, khususnya dalam aspek penyelenggaraan institusi keagamaan.
Sebagai contoh, pada 1960, masyarakat Islam di Limbang telah mengambil inisiatif mengumpulkan dana bagi membaik pulih masjid mereka yang berada dalam keadaan uzur.
Walaupun menghadapi kekurangan dalam aspek kewangan, tetapi orang Islam di Sarawak juga pernah menghantar anak-anak mereka belajar agama di Kolej Islam Kelang.
Pada 1956 seramai dua pelajar Sarawak telah mengikuti pelajaran di kolej tersebut.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa jati diri masyarakat Islam di Sarawak masih tinggi untuk memperkasakan agama Islam di Sarawak.
Harapan besar mereka ketika itu adalah untuk memperkukuhkan lagi Islam di Sarawak dalam aspek pendidikan dan gerakan dakwah.
Akhir sekali ‘Selamat menyambut Ramadan’.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.