
BAU: Dua premis perniagaan di sini mengalami gangguan bekalan elektrik dalam operasi bersama yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Bau dan Sarawak Energy Berhad hari ini akibat aktiviti haram yang dijalankan di premis mereka.
Ketua Polis Daerah Bau Supt Mohd Haide Bin A Rahman berkata, premis pertama yang terlibat ialah MX Station yang terletak di tingkat bawah, Lot 1823, Blok 6, rumah kedai dua tingkat di Tondong, 94000 Bau.
“Laporan direkodkan di bawah Bau report 826 tahun 2026 pada jam 11.48 pagi manakala pemotongan bekalan elektrik telah dilaksanakan lebih awal 10.20 pagi,” katanya.

Beliau berkata premis kedua ialah 789 Convenience Store di tingkat satu, Lot 7, Paku Town District, 94000 Bau.
“Laporan bagi kes ini direkodkan di bawah Bau report 828 tahun 2026 12.45 tengah hari dan pemotongan bekalan elektrik dilakukan 10.50 pagi,” katanya.
Menurutnya, proses pemotongan bekalan elektrik tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau yang diketuai Insp Afendi Anak Otoh bersama tiga anggota polis dengan kerjasama lima pegawai Sarawak Energy Berhad.
“Operasi berjalan lancar dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang pelaksanaan operasi,” katanya.
Oleh Connie Chieng