Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • MA63 asas keadilan fiskal, perpaduan negara – Dato’ Ahmad Ibrahim
  • SEMASA

MA63 asas keadilan fiskal, perpaduan negara – Dato’ Ahmad Ibrahim

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATO’ Ahmad Ibrahim menekankan kepentingan pelaksanaan adil MA63 semasa perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, hari ini.

KUALA LUMPUR: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar isu sejarah, sebaliknya merupakan asas kepada keadilan fiskal, keseimbangan wilayah dan perpaduan nasional.

Menurut Senator Dato’ Ahmad Ibrahim, MA63 adalah kontrak perlembagaan asal yang membentuk Malaysia sebagai sebuah Persekutuan berasaskan perkongsian kuasa dan hasil, dan bukan penyeragaman pentadbiran.

“Sarawak dan Sabah tidak menyertai Malaysia sebagai negeri tambahan, tetapi sebagai rakan pengasas Persekutuan. Pelaksanaan MA63 yang adil tidak melemahkan negara, ia mengukuhkan Malaysia,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara, hari ini.

Dato’ Ahmad berkata, kronologi pembentukan negara perlu difahami secara menyeluruh, bermula daripada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, pemerintahan sendiri Sarawak dan Sabah pada 1963, hingga pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Beliau turut menegaskan bahawa sejarah petroleum Sarawak bermula seawal 1910, sekali gus mengukuhkan hak negeri itu terhadap sumbernya sebagai warisan sejarah dan perlembagaan.

Menurut beliau, Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) merupakan sebahagian daripada asas MA63 yang tidak boleh dipisahkan dalam memahami struktur Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa struktur asal Parlimen diwujudkan bagi memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai suara pengimbang perlembagaan, namun keseimbangan itu terjejas selepas pengunduran Singapura pada 1965.

“Apabila rakyat Sarawak dan Sabah bercakap soal keseimbangan, mereka bercakap tentang struktur perlembagaan yang pernah wujud, bukan soal emosi,” jelasnya.

Dato’ Ahmad turut menyambut baik beberapa kemajuan pelaksanaan MA63, termasuk pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, pengiktirafan Sarawak dalam kawal selia gas dan pelabuhan, peningkatan Geran Khas di bawah Perkara 112D serta pengiktirafan jabatan teknikal Sarawak dalam pelaksanaan projek Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa perkara penting masih memerlukan penyelesaian, termasuk penambahan kerusi Parlimen, bidang pendidikan, kesihatan, Borneonisasi perkhidmatan awam dan pembangunan kawasan sempadan.

Beliau turut menegaskan bahawa Geran Khas di bawah Perkara 112D merupakan kewajipan perlembagaan dan perlu distrukturkan melalui formula telus dan berindeks, selaras dengan amalan negara persekutuan maju.

Selain itu, beliau menggesa anjakan struktur ekonomi negara melalui pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan industri semikonduktor dan kecerdasan buatan, pemerkasaan TVET serta pengukuhan syarikat tempatan ke pasaran global.

Dato’ Ahmad juga mencadangkan agar Sarawak dan Sabah dijadikan teras strategi jaminan makanan negara bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

Dalam aspek keselamatan, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan memperkukuh Askar Wataniah dengan latihan, peralatan dan peruntukan mencukupi bagi menghadapi cabaran geopolitik global.

“MA63 bukan isu Sarawak atau Sabah semata-mata. Ia adalah agenda nasional. Persekutuan yang kukuh ialah Persekutuan yang menghormati kepelbagaian dan menunaikan janji,” katanya.

Beliau mengakhiri perbahasan dengan menyatakan sokongan dan menjunjung kasih terhadap Titah Diraja.

Oleh Masrin Affirah 

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Projek jalan pesisir, Jambatan Batang Lupar 2 pacu pembangunan Bandar Simanggang
Next: ADUN Batu Kitang lawat ahli cawangan sempena Tahun Baharu Cina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.