
GUADALAJARA, Mexico: Nemesio Oseguera Cervantes, yang dikenali dengan gelaran ‘El Mencho’, terbunuh dalam satu operasi ketenteraan Mexico di negeri Jalisco semalam, menurut kenyataan rasmi tentera negara itu.
Lelaki berusia 59 tahun itu yang mengetuai Jalisco New Generation Cartel (CJNG) dilaporkan cedera dalam pertempuran dengan anggota tentera di bandar Tapalpa sebelum meninggal dunia ketika diterbangkan ke Mexico City untuk rawatan lanjut.
Amerika Syarikat sebelum ini menawarkan ganjaran sebanyak AS$15 juta bagi maklumat yang membawa kepada penahanannya.
Operasi berkenaan mencetuskan gelombang keganasan apabila kumpulan bersenjata dipercayai anggota kartel bertindak balas dengan menyekat lebih 20 jalan raya di barat Jalisco serta membakar kenderaan. Sekurang-kurangnya lapan negeri menggantung sesi persekolahan bersemuka manakala badan kehakiman membenarkan mahkamah ditutup di kawasan terjejas.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, menggesa rakyat supaya bertenang dan memberi jaminan pihak berkuasa sedang mengawal keadaan.
Menurut tentera Mexico, operasi tersebut dilaksanakan hasil risikan domestik dengan maklumat tambahan daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat. Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, mengesahkan Washington memberikan sokongan risikan.
Dalam operasi itu, enam lagi suspek anggota kartel terbunuh dan tiga anggota tentera cedera. Dua suspek ditahan dan pelbagai senjata dirampas, termasuk pelancar roket yang mampu menembak jatuh pesawat serta memusnahkan kenderaan berperisai.
Oseguera merupakan antara ketua kartel dadah terbesar Mexico yang ditumpaskan sejak penahanan pengasas Kartel Sinaloa, Joaquin Guzman dan Ismael Zambada, yang kini menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat.
Susulan insiden tersebut, kerajaan negeri Jalisco membatalkan acara melibatkan perhimpunan besar, manakala beberapa syarikat penerbangan Amerika Syarikat dan Kanada turut membatalkan penerbangan ke destinasi terjejas atas faktor keselamatan.
-AFP