
BINTULU: Siri kunjungan Tahun Baharu Cina oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ke beberapa kediaman pemimpin masyarakat dan komuniti di sini hari ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan bersama rakyat.
Dr Sim yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) meluangkan masa menyantuni masyarakat menerusi tradisi kunjung-mengunjung sempena perayaan bagi menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina serta mengeratkan hubungan silaturahim.

Kunjungan bermula pada 1.00 petang di kediaman Temenggong Dato Chai Shong Phian di Lucky Garden, Jalan Tanjung Batu, yang menjadi lokasi pertemuan masyarakat pelbagai kaum bersama pemimpin negeri dalam suasana santai dan mesra.
Lawatan diteruskan pada 2.00 petang ke kediaman Datuk Wong Aik Luong di Jalan Persiaran Mempelam, Tanjung Batu. Wong yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Kai Dee turut berkongsi perkembangan sektor pendidikan tempatan bersama rombongan.

Seterusnya pada 3.00 petang, Dr Sim mengadakan kunjungan ke kediaman Naib Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) merangkap Pengerusi SHEDA Cawangan Bintulu, Noel Yek Nae Shiuan di Starhill, Jalan Tun Hussein Onn.
Siri kunjungan tersebut diakhiri pada 4.00 petang di kediaman Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS) yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCCI), Kong Chiong Ung di Taman Tinggi 2.
Sepanjang kunjungan berkenaan, Dr Sim turut bertukar pandangan dengan pemimpin komuniti, tokoh pendidikan serta wakil sektor perniagaan mengenai pembangunan setempat dan peranan masyarakat dalam menyokong agenda pembangunan Sarawak.

Kehadiran masyarakat pelbagai lapisan di setiap lokasi jelas menunjukkan sambutan positif terhadap pendekatan kepimpinan turun padang yang diamalkan kerajaan negeri dalam mendekati rakyat.
Amalan kunjung-mengunjung sempena musim perayaan bukan sahaja mengekalkan tradisi masyarakat Cina, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat serta kerjasama antara kerajaan, komuniti dan sektor ekonomi tempatan.
Oleh Carolyne Utih