
BINTULU: Amalan meraikan perayaan secara bersama terus memperlihat kekuatan perpaduan masyarakat Sarawak yang menjadi asas kepada kestabilan sosial serta pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, masyarakat di negeri ini telah lama mengamalkan kehidupan harmoni berasaskan sikap saling menghormati agama, budaya dan cara hidup setiap kaum.
Menurut beliau, kepelbagaian budaya di Sarawak tidak pernah menjadi punca pertikaian kerana rakyat memahami keunikan masyarakat majmuk yang wujud sejak sekian lama.

Katanya, isu berkaitan amalan budaya seperti pengambilan minuman beralkohol atau penternakan babi tidak mencetuskan konflik sosial kerana masyarakat menerima perbezaan tersebut sebagai sebahagian daripada identiti negeri.
“Di Sarawak, kita hidup dalam masyarakat yang saling memahami. Kepelbagaian bukan halangan, sebaliknya kekuatan yang menyatukan rakyat,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintulu di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Majlis tersebut menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran sekitar 2,500 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan lapisan masyarakat.

Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan II, Datuk Majang Renggi; Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti serta pemimpin masyarakat setempat.
Dr Sim yang juga Presiden SUPP berkata, tradisi rumah terbuka pelbagai perayaan memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara kaum serta membina kepercayaan sosial yang kukuh dalam kalangan rakyat.
Beliau menegaskan, pembangunan Sarawak perlu bergerak seiring antara kemajuan ekonomi dan pembentukan masyarakat berilmu serta berdaya saing.
Menurutnya, kedudukan kewangan negeri yang semakin stabil membolehkan kerajaan Sarawak menumpukan lebih banyak pelaburan dalam sektor pendidikan, termasuk memperluas akses pendidikan berkualiti dan pembangunan bakat tempatan.
Tambahnya, perancangan pembangunan institusi pendidikan termasuk sekolah antarabangsa di Bintulu merupakan antara usaha menyediakan generasi masa depan yang mampu bersaing di peringkat global.
“Pembangunan sebenar bukan sekadar infrastruktur, tetapi pembangunan manusia. Pendidikan dan perpaduan adalah asas kepada masa depan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu merangkap Pengerusi SUPP Bintulu, Johnny Pang Leong Ming berkata, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini memberi makna tersendiri kerana berlangsung dalam tempoh umat Islam menunaikan ibadah Ramadan.
Menurutnya, situasi tersebut menunjukkan keharmonian unik Sarawak apabila masyarakat pelbagai agama tetap hadir memeriahkan majlis serta saling menyokong antara satu sama lain.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Islam yang hadir dan membantu menjayakan majlis walaupun sedang berpuasa.
“Semangat kebersamaan inilah yang menjadikan Bintulu istimewa. Kita bukan sekadar hidup berjiran, tetapi saling membantu dan meraikan antara satu sama lain,” katanya.
Johnny Pang turut menghargai peranan persatuan-persatuan Cina di Bintulu yang terus aktif memelihara warisan budaya sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti setempat.
Menurutnya, penganjuran rumah terbuka setiap tahun menjadi medium penting merapatkan hubungan rakyat serta memupuk nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Majlis tersebut diserikan dengan persembahan kebudayaan, jamuan makanan tradisional serta kehadiran masyarakat pelbagai kaum yang bersama-sama meraikan Tahun Baharu Cina dalam suasana harmoni dan penuh muhibah.
Oleh Carolyne Utih