Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • 34 tahun pemergian Sudirman, kenangan kekal terpahat dalam ingatan penduduk Temerloh
  • HIBURAN

34 tahun pemergian Sudirman, kenangan kekal terpahat dalam ingatan penduduk Temerloh

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENDUDUK Kampung Batu Satu berkongsi kenangan bersama Allahyarham Sudirman Arshad yang terkenal dengan keperibadian rendah diri dan baik hati.

TEMERLOH: Bermain bola sepak bersama penyanyi tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad antara kenangan paling bermakna yang masih terpahat dalam ingatan seorang penduduk Kampung Batu Satu, di sini.

Berkongsi kisah, peniaga Mumin Yaakob, 66, berkata dia pernah beberapa kali berkongsi padang bersama pelantun lagu Salam Terakhir itu ketika kecil dan menyifatkan Allahyarham seorang yang baik hati. 

“Hari ini genap 34 tahun pemergian Sudirman dan Allahyarham terus dikenang penduduk kampung sebagai legenda yang mengharumkan daerah ini. Saya beza umur dengan Allahyarham agak banyak tetapi beliau tetap layan dengan baik, malah saya sering ke rumahnya untuk bermain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mumin berkata, selepas anak jati Pahang yang dilahirkan 25 Mei 1954 itu melangkah ke dunia seni, keperibadian beliau tetap tidak berubah dalam menyantuni sesiapa sahaja, walaupun menerima gelaran ‘Penghibur Nombor Satu Asia’.

“Cuma selepas Allahyarham menjadi penyanyi dan terkenal, banyak masanya di Kuala Lumpur dan jarang pulang ke sini, namun ketika bertemu beliau tidak berubah sikap dan tegur kami seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, anak jati Kampung Tok Embun di sini, Mira Edora Ahmad Naser, 35, menyifatkan kelahiran seniman itu sebagai satu kebanggaan besar dan terus menaikkan nama Temerloh sehingga hari ini. 

“Sebagai anak kampung, memang kami bangga… selalu juga orang luar datang dan tanya di mana rumah Sudirman. Ada yang sengaja singgah sebab nak tengok kampung tempat Allahyarham dibesarkan,” katanya yang menetap berhampiran rumah penghibur itu. 

Mira Edora berkata, kehadiran orang ramai membuktikan penyanyi itu kekal mempunyai tempat istimewa di hati para peminatnya sehingga kini. 

Berpendapat inisiatif khusus perlu diwujudkan di kampung kelahiran penyanyi serba boleh itu sebagai tanda memperingati jasanya kepada industri hiburan tanah air serta rujukan untuk generasi muda, Mohammad Amirul Hafiz Rahman, 33, berkata antaranya dengan memelihara rumah Allahyarham yang terbiar.

Sudirman menghembuskan nafas terakhir pada usia 37 tahun, 22 Februari 1992 selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Batu Satu di sini.

Selain merakamkan 15 album studio, 52 album kompilasi serta memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa sepanjang pembabitannya dalam dunia seni hiburan tanah air, beliau juga adalah artis pertama negara yang membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada 1989 sekali gus menyertai senarai penghibur terkemuka antarabangsa yang mengadakan konsert di situ.

Antara lagu Sudirman yang masih popular dan dimainkan sehingga hari ini ialah Merisik Khabar, Nilai Cintamu, Milik Siapakah Gadis Ini, Terasing, Anak Gembala, Pelangi Petang, Salam Terakhir, selain Tanggal 31 Ogos sempena sambutan hari kebangsaan serta yang cukup sinonim ketika sambutan musim perayaan iaitu Balik Kampung dan Dari Jauh Kupohon Maaf. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Kelab peminat P. Ramlee akur pandangan umum, tarik balik cadangan tukar nama ASWARA

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.