
KUCHING: Pencarian Juara Digital Sarawak secara rasmi bermula hari ini apabila peserta dari 45 daerah seluruh Sarawak berkumpul di ibu negeri bagi menyertai kem latihan Juara Digital Sarawak (SDC), menandakan fasa pertama dalam usaha memperkukuh kepimpinan digital di peringkat komuniti.
Program anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama rakan penyelaras Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak itu berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 26 Februari depan.
Menurut kenyataan AZAM, kem latihan berkenaan menghimpunkan peserta terpilih yang akan mengikuti latihan digital berstruktur, sesi bimbingan serta pembangunan inovasi bagi memperkukuh kemahiran praktikal dan kepimpinan digital.
“Selepas tamat fasa ini, peserta akan kembali ke daerah masing-masing untuk berperanan sebagai Juara Digital dengan memimpin sesi bimbingan, latihan dan perkongsian ilmu kepada komuniti setempat.
“Selaras dengan tema ‘Inivasi digital, perkasakan Kkomuniti’ program berkenaan bertujuan memperkukuh literasi digital serta kapasiti inovasi di seluruh negeri, selain menggalakkan penyertaan lebih luas dalam ekonomi digital.
“Melalui pelaksanaan siri Bengkel Kamek Digital di daerah masing-masing, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 2,700 usahawan di seluruh Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai rakan penyelaras komuniti, AZAM Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan program sampai ke peringkat akar umbi secara berstruktur dan berimpak, selain memperkukuh jaringan daerah serta memastikan setiap peserta bersedia memimpin transformasi digital secara inklusif.
Pengurus Pembangunan Komuniti AZAM Sarawak, Yaana Singkie berkata pendekatan berteraskan komuniti menjadi teras utama dalam pelaksanaan program berkenaan.
“Kem latihan ini bukan sekadar latihan teknikal. Ia adalah proses membina pemimpin digital di setiap daerah. Dengan adanya wakil Juara Digital, kita sedang membentuk rangkaian duta digital yang akan kembali ke komuniti masing-masing untuk berkongsi ilmu, membimbing usahawan tempatan dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap penggunaan teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan peserta dari seluruh Sarawak membuktikan komitmen bersama untuk memastikan transformasi digital tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja, sebaliknya turut merangkumi kawasan luar bandar secara inklusif.
“Sebagai rakan penyelaras, AZAM melihat program ini sebagai platform strategik untuk memperkasa komuniti melalui komunikasi dan latihan berimpak. Apabila kemahiran digital disampaikan secara dekat dengan masyarakat, ia bukan sahaja meningkatkan literasi, malah membuka peluang ekonomi baharu yang lebih mampan,” tambahnya.
Selepas fasa kem latihan ini, peserta akan melaksanakan program jangkauan digital berasaskan komuniti di daerah masing-masing sebelum penilaian akhir dijalankan bagi memilih peserta terbaik untuk dinobatkan sebagai Juara Digital Sarawak.
Kerjasama antara SDEC dan AZAM Sarawak itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh pembangunan digital negeri serta memperkasa komuniti selaras dengan aspirasi transformasi digital Sarawak.