
KUCHING: Semua pemenang pingat dari 14 negeri lain pada temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2025 turut menerima insentif kewangan khas daripada kerajaan Sarawak, dengan jumlah keseluruhan RM399,000.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata insentif itu sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kerajaan negeri serta bukti komitmen terhadap pembangunan sukan inklusif, termasuk bagi komuniti pekak.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pengumuman kelulusan peruntukan insentif berjumlah RM399,000 kepada semua pemenang pingat dari negeri lain juga.
“Insentif ini diharap menjadi pemangkin semangat untuk terus meningkatkan prestasi dan melakar lebih banyak kejayaan, sama ada di peringkat kebangsaan, ASEAN, Asia Pasifik mahupun di pentas antarabangsa seperti Deaflympics,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Pemenang SOPMA ke-22 Sarawak di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn.
Fatimah berkata daripada jumlah itu, RM60,000 dimenangi oleh 22 atlet pekak Sarawak yang berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa.
Beliau berkata setiap pemenang pingat menerima jumlah yang sama dengan insentif untuk atlet Sarawak, iaitu RM5,000 bagi pingat emas, perak (RM2,000) manakala gangsa (RM1,000).
Pada temasya yang berlangsung Oktober tahun lepas, kontinjen Sabah muncul juara keseluruhan dengan 17 pingat emas, 13 perak dan lapan gangsa, diikuti Sarawak di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan di kedudukan ketiga.
-Bernama