KUALA LUMPUR: Satu webinar yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan kerjasama Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projeknya (PACU) menyediakan peluang kepada pelabur untuk berbincang dan berangkaian dengan pihak berkuasa relevan dan pemegang kepentingan.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud mengetengahkan isu penyesuaian dalam ekonomi global di bawah normal baharu dalam ucapan pembukaan beliau di webinar, “Starting Your Project with PACU@MIDA”, yang diadakan pada 29 Sept.
“MIDA akan meneruskan usahanya untuk menarik pelaburan berkualiti dan memulihkan keyakinan pelabur dalam melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka. Mustahak untuk menjana semula ekonomi (daripada impak pandemik COVID-19) dengan melaksanakan inisiatif berani,” katanya.
Seminar dalam talian itu mendapat lebih 1,000 tontonan dan membimbing pemegang kepentingan dan pelabur berpotensi mengenai penyerahan permohonan, peraturan dan keperluan relevan bagi memulakan projek pelaburan di Malaysia.
Ia juga menyediakan maklumat mengenai utiliti yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan serta pemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan.
Dari Januari hingga Mac tahun ini, MIDA berkata 214 projek pembuatan diluluskan dengan 127 projek sedang dilaksanakan ketika ini.
Begitu juga, daripada 988 projek pembuatan yang diluluskan tahun lepas, 698 projek telah dilaksanakan.
Bagi maklumat lanjut mengenai perkara ini, pelabur boleh menghubungi pasukan PACU@MIDA di talian +603-2263 2462 / +603-22673473 atau menghantar e-emel kepada pacu@mida.gov.my. – Bernama