Hujung minggu atau cuti umum lazimnya ramai akan mengambil kesempatan melakukan aktiviti sihat secara bersantai di pusat rekreasi atau taman.
Lawatan ke Marudi, sebuah pekan yang pesat membangun terletak di Utara Sarawak tidak akan lengkap tanpa lawatan ke Taman Awam Kubu Hose.
Taman Awam Kubu Hose ini, merupakan taman rekreasi yang terdapat di sebuah pekan kecil dan juga merupakan lokasi riadah yang sering dikunjungi golongan belia pada waktu petang dan hujung minggu.
Jarak taman ini kira-kira dua kilometer dari pasar Marudi dan terletak atas puncak bukit menghala ke sungai Baram mampu menjadi daya tarikan pelancong tempatan atau pelancong dari bandar lain.
Sesuai dipanggil sebagai taman awam Kubu Hose, dikunjungi pelbagai kaum dalam keadaan harmoni menjadikan lokasi taman Awam Kubu Hose ini sangat unik .
Bagi warga tempatan khususnya warga Marudi boleh berkunjung ke taman awam ini untuk bersantai sambil lmenghirup udara segar serta menikmati keindahan batang Sungai Baram yang tenang.
Mungkin setiap minggu anda boleh memlih taman ini untuk mengisi masa dengan cara gaya yang sihat dan melakukan aktiviti riadah yang boleh menenangkan fikiran anda.
Bukan saja warga tempatan yang datang untuk bersantai pada hujung minggu ke taman ini malah warga dari bandar lain seperti Miri datang untuk merakam gambar kenangan atau melakukan pelbagai aktiviti menarik, tidak kira bersendirian atau berkumpulan, setiap yang datang ke sini pasti melakukan sesuatu yang menyihatkan.
Selain daripada keindahan Sungai Baram yang berlatar belakangkan bangunan Kubu Hose yang penuh dengan sejarahnya ramai pengunjung di sini membawa ahli keluarga, sebagai destinasi yang sangat sesuai untuk bersantai di hujung minggu.
Sementara itu Kubu Hose merupakan legasi Rajah Brooke yang kini dijadikan sebagai muzium wilayah yang banyak menyimpan seperti khazanah tekstil tempatan, barang-barang manik, ukiran kayu dan barang upacara seperti topeng kayu yang digunakan masyarakat Orang Ulu.
Selain itu di sini juga terdapat laluan joging yang lebih santai dan tenang tanpa gangguan sambil menghirup udara segar di waktu pagi.
Taman Awam Kubu Hose meskipun sudah lanjut usianya namun cukup bernilai bagi warga Marudi dan khazanah yang perlu disimpan dan dijaga sampai bila-bila.
Jika anda ingin bersantai bersama keluarga dan bagi invidu pula yang ingin mencapai ketenangan dan kedamaian pastinya Taman Awam Kubu Hose adalah tempatnya.
Oleh Jiku Juguong