
PETRA JAYA: Bazar Ramadan Semarak di Kampung Gita tampil dengan imej baharu tahun ini apabila gerai penjaja dinaik taraf kepada struktur lebih kukuh dan tersusun, menggantikan penggunaan kanopi besar seperti sebelum ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, berkata penambahbaikan tersebut dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai usaha memperkasakan kemudahan penjaja serta mewujudkan suasana perniagaan yang lebih selesa dan teratur.
Menurut beliau, sebelum ini sebahagian penjaja ditempatkan di kawasan berhampiran masjid sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas, namun kini mereka telah dipindahkan ke tapak baharu yang lebih sesuai dan sistematik.
“Kalau kita lihat tahun ini, gerai nampak lebih kemas, kukuh dan tersusun. Ini sebahagian usaha DBKU untuk mengangkat taraf penjaja di Semarak serta menyediakan persekitaran lebih kondusif,” katanya ketika merasmikan bazar berkenaan bersama Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, hari ini.

Beliau memaklumkan bazar tersebut mula beroperasi pada 19 Februari dan akan berlangsung sehingga 20 Mac depan, melibatkan seramai 40 peniaga termasuk lebih 30 peniaga utama serta 10 peniaga tambahan yang menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa.
Tambah beliau, selain penambahbaikan kemudahan fizikal, DBKU turut menekankan aspek pengurusan yang lebih sistematik termasuk kebersihan dan keselamatan makanan melalui pemantauan berterusan sepanjang Ramadan.
Dalam pada itu, Fazzrudin menegaskan pelaksanaan amalan 3R iaitu Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula terus diperkasa di tapak bazar sebagai menyokong agenda kelestarian alam sekitar.
Katanya, sisa makanan dan bahan kitar semula yang dikumpulkan akan dihantar ke pusat kompos di Jalan Pending untuk diproses dan diolah semula, sekali gus mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan.
“Amalan 3R ini sebenarnya sudah lama dilaksanakan, namun kita mengambil peluang Ramadan untuk melatih dan membiasakan peniaga serta pengunjung supaya ia menjadi satu kelaziman dalam kehidupan seharian demi menjaga kebersihan alam sekitar dan kesihatan awam,” jelasnya.
Mengulas isu kemudahan parkir, beliau berkata setakat ini kawasan bazar tidak terjejas banjir atau banjir kilat, namun pihaknya akan berbincang dengan DBKU bagi mengenal pasti tapak bersesuaian untuk menambah ruang parkir demi keselesaan pelanggan.
Tambah beliau, usaha itu penting memandangkan sebahagian ruang parkir sedia ada digunakan bagi menempatkan gerai, sekali gus memerlukan perancangan semula agar pengunjung dapat berkunjung dengan lebih mudah dan teratur.
Oleh Shikin Mahmud