
SIMANGGANG: Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi perlu terus diperkasa bagi memastikan agenda pembangunan dapat disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, KMKK yang menerima gaji dan elaun daripada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus memikirkan sumbangan terbaik kepada kerajaan semasa, termasuk mengajak rakyat untuk terus memberikan sokongan terhadap agenda pembangunan yang dirancang.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Mesyuarat Penubuhan Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Iban atas nama Daerah Sri Aman, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa sementara kerana berjaya melaksanakan pemilihan jawatankuasa pengurusan persatuan dengan lancar.
Berdasarkan carta organisasi yang diumumkan, Temenggong Leonard Libau Anol dilantik sebagai Pengerusi, manakala Pemanca Denneil Saweng sebagai Timbalan Pengerusi.
Jawatan Setiausaha disandang oleh Penghulu Banga Munap dan Penolong Setiausaha oleh Tuai Rumah Vincent Roy Klanang. Bendahari pula ialah Penghulu Empaga Bailey dengan Timbalan Bendahari, Penghulu Riji Gu.
Dua Auditor yang dilantik ialah Penghulu Mingging Sigan dan Penghulu Andar Suntai, manakala tiga Ahli Jawatankuasa akan dilantik dalam kalangan lima Penghulu.
Menurut Harden, langkah seterusnya bagi persatuan tersebut ialah merancang aktiviti tahunan yang tersusun agar sentiasa aktif dan relevan dalam membantu kerajaan menyebarluaskan maklumat penting kepada rakyat.
Katanya, KMKK memainkan peranan strategik dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan difahami serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menegaskan bahawa bagi melancarkan setiap aktiviti yang dirancang, semua ahli perlu bekerjasama, saling menghormati dan mengelakkan sebarang konflik dalaman yang boleh menjejaskan perpaduan serta mewujudkan sindrom berpuak-puak dalam persatuan.
Terdahulu, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Joshua Martin Jantan, menyarankan agar persatuan KMKK yang baharu ditubuhkan itu memainkan peranan aktif dalam mengangkat martabat KMKK Iban setaraf dengan pertubuhan KMKK Melayu dan Cina.
Katanya, penglibatan dalam aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) yang mengetengahkan budaya Iban seperti program Niti Daun, Sambutan Gawai dan permainan adat asal Iban perlu diperkasa, selain terus membantu rakyat yang ditimpa bencana seperti banjir, kebakaran dan tanah runtuh.
Pada majlis berkenaan, Harden turut mengumumkan kelulusan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Persatuan KMKK Daerah Sri Aman yang baharu ditubuhkan, tertakluk kepada proses pendaftaran rasmi dan pembukaan akaun bank persatuan.
Beliau berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya demi memperkukuh peranan KMKK sebagai penggerak pembangunan di peringkat komuniti.
Oleh Adi Safarman