
SRI AMAN: Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di Sarawak bukan sahaja diraikan oleh komuniti Tiong Hua, malah turut disertai secara meluas oleh kaum lain, menunjukkan tahap penerimaan dan toleransi antara kaum yang tinggi di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, keadaan ini mencerminkan warisan perpaduan yang perlu dipelihara daripada gangguan anasir negatif.
“Inilah warisan negara yang perlu kita pertahankan daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang tidak baik.

“Membudayakan perpaduan dan meraikan kepelbagaian merupakan konsep penting yang perlu disemai dalam setiap warga Malaysia bagi menjamin keharmonian kaum,” kata beliau semasa mengadakan kunjungan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar DUN Bukit Begunan semalam.
Beliau menekankan bahawa generasi muda, tanpa mengira bangsa dan agama, diharap dapat meneruskan tradisi kunjung-mengunjungi pada semua perayaan bagi mengekalkan keamanandan keharmonian rakyat di Sarawak.
“Tradisi kunjung-mengunjungi yang telah diamalkan masyarakat di sini sejak turun-temurun tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan perlu diteruskan oleh generasi muda.

“Sudah menjadi amalan di Sarawak setiap kali perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Tahun Baharu Cina, dan Krismas, masyarakat akan mengadakan rumah terbuka,” jelas Mong.
Beliau menambah, inilah keunikan Sarawak di mana sambutan perayaan disertai oleh masyarakat dan komuniti berbeza untuk meraikannya bersama-sama.
“Saya amat menggesa generasi muda kita untuk meneruskan tradisi ini kerana amalan kunjung-mengunjungi antara rakyat pelbagai kaum ini tidak akan ketinggalan zaman.
“Inilah nilai yang diterapkan oleh nenek moyang kita agar Sarawak terus aman dan harmoni,” tegasnya.
Oleh Adi Safarman