Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Dari pentas peragaan ke pentas konsert, Ezuwan Ismail mahu bawa kelainan
  • HIBURAN

Dari pentas peragaan ke pentas konsert, Ezuwan Ismail mahu bawa kelainan

Utusan Sarawak 6 hours ago
SESI fotografi bersama penganjur konsert Ezuwan Ismail selepas Majlis Sidang Media Konsert 4 Decades Fauziah Latiff semalam, baru-baru ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR:  Selepas 15 tahun mengukir nama dalam industri fesyen tanah air, pereka tersohor Ezuwan Ismail kini melangkah berani ke dunia penganjuran konsert menerusi syarikatnya, Ideatelier, dengan misi jelas membawa kelainan dalam setiap persembahan hiburan yang diterbitkan.

Ezuwan menjelaskan penglibatannya dalam bidang acara dan hiburan bukan petanda beliau meninggalkan dunia fesyen, sebaliknya memperluas cabang kreatif yang masih berpaksikan akar seni yang sama.

“Fesyen tetap keutamaan saya, tetapi ‘event’ dan ‘entertainment’ ini medan untuk saya berkongsi pengalaman serta ilmu yang saya kumpul sepanjang 15 tahun dalam industri.

“Lagipun, kedua-dua bidang ini berada dalam rumpun yang sama, saling melengkapi. Saya cuma berpindah posisi, daripada belakang tabir kepada peneraju penganjuran,” katanya kepada Bernama.

Belum pun setahun menceburi bidang tersebut, pereka fesyen itu sudah membuktikan kemampuannya apabila berjaya menganjurkan konsert berskala besar termasuk Live In KL – Sammy Simorangkir dan Sembilu: The Reunion.

PENYANYI legenda Fauziah Latiff bersama penganjur konsert Ezuwan Ismail (kiri) bergambar pada Majlis Sidang Media Konsert 4 Decades Fauziah Latiff, baru-baru ini. Foto Bernama

Pengalaman menghasilkan busana untuk konsert mega sebelum ini memberi kelebihan buat Ezuwan memahami selok-belok penganjuran acara, daripada aspek produksi, reka bentuk pentas hingga pengurusan artis.

Antara figura ternama yang pernah mengenakan rekaannya ialah penyanyi nombor satu Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza serta Aina Abdul dan Ziana Zain, sekali gus memberinya pendedahan langsung terhadap standard persembahan bertaraf mega.

Terbaharu, beliau bakal menerbitkan konsert meraikan ulang tahun ke 40 perjalanan seni legenda tanah air Fauziah Latiff pada 9 Mei depan, yang disifatkannya sebagai impian peribadi kerana membesar dengan lagu-lagu penyanyi itu.

Menurut Ezuwan, pemilihan figura berkenaan bukan semata-mata strategi komersial, sebaliknya lahir daripada rasa hormat terhadap legasi seni yang masih relevan merentasi generasi.

Mengulas konsep persembahan, beliau memberi bayangan bahawa konsert berkenaan akan menampilkan elemen “showmanship” berbeza, termasuk sentuhan sinematik, kostum eksklusif serta momen kejutan yang dirancang rapi bagi memberikan pengalaman menyeluruh kepada penonton. 

“Setiap konsert terbitan kami pasti ada identiti tersendiri. Kami bukan sekadar jual persembahan, tetapi pengalaman… daripada dekorasi, kemasukan karpet merah hinggalah elemen seperti kabuki drop yang menjadi ciri ikonik kami.

“Semasa Konsert Sammy Somorangkir pada hujung tahun lepas, setiap hadirin diberikan bunga ros sebagai simbol penghargaan kepada legasi artis tersebut. Manakala, konsert Sembilu The Reunion baru-baru ini kami menyediakan ‘popcorn’ kepada 10,000 penonton bagi menimbulkan suasana retro sinematik, seolah-olah menonton wayang era 90-an,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu bukan bertujuan menyaingi penganjur lain, sebaliknya menyemarakkan industri hiburan tempatan dan mengangkat mutu persembahan ke tahap lebih tinggi.

“Pendekatan ini bukan sahaja memberi kepuasan kepada peminat, malah membuka ruang kreatif baharu kepada artis, pemuzik dan pasukan produksi yang terlibat,” katanya.

Dalam masa sama, Ezuwan menyimpan impian untuk suatu hari nanti membawa penganjuran konsert ke lokasi berkapasiti mega seperti Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai sasaran jangka panjang dalam memperkukuh jenama Ideatelier dalam landskap hiburan tempatan.

Langkah berani itu membuktikan seni tidak pernah statik, sebaliknya sentiasa berkembang mengikut keberanian dan visi penggiatnya.

-Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Michelle Yeoh terima pengiktirafan Hollywood Walk Of Fame

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.