Rumah Bia Batu Burak terima projek naik taraf bumbung di bawah RTP DUN Kalaka

Facebook
WhatsApp
 KAUNSELOR Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka serta wakil agensi pelaksana mengadakan lawatan dan siasatan tapak di Rumah Bia Juing dekat Batu Burak, Roban. Foto ADUN Kalaka

ROBAN: Rumah Bia Juing di Batu Burak, Roban bakal berwajah baharu apabila disenaraikan sebagai penerima peruntukan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Kalaka bagi tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata rumah panjang berkenaan akan menerima projek naik taraf bumbung yang telah dikenal pasti sebagai keperluan mendesak penduduk setempat.

Menurut beliau, projek tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok yang dilantik sebagai agensi pelaksana bagi memastikan kerja-kerja menaik taraf dijalankan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan.

Katanya, pihak Pusat Khidmat ADUN Kalaka sebelum ini telah menerima permohonan rasmi daripada Tuai Rumah Bia berhubung keadaan atap rumah panjang yang semakin uzur dan memerlukan penggantian segera demi keselamatan serta keselesaan penghuni.

“Sehubungan itu, saya telah mengadakan perbincangan bersama agensi dan jabatan terlibat bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek naik taraf ini melalui peruntukan RTP DUN Kalaka,” katanya.

KAUNSELOR Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka serta wakil agensi pelaksana mengadakan lawatan dan siasatan tapak di Rumah Bia Juing dekat Batu Burak, Roban. Foto ADUN Kalaka
 

Sementara itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi telah mewakili ADUN Kalaka mengadakan lawatan dan siasatan tapak di rumah panjang berkenaan.

Lawatan tersebut turut disertai Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas serta wakil agensi pelaksana daripada JKR Daerah Saratok bagi meninjau sendiri keadaan semasa bumbung rumah panjang itu.

Dalam sesi tersebut, satu dialog ringkas turut diadakan bersama penduduk bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan berkaitan keperluan projek yang bakal dilaksanakan.

Mohamad Duri berkata, projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan luar bandar serta memastikan kebajikan komuniti rumah panjang sentiasa diberi perhatian.

Beliau berharap pelaksanaan projek naik taraf bumbung itu kelak dapat meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kualiti hidup penduduk Rumah Bia Juing, sekali gus memperkukuh pembangunan menyeluruh di kawasan Batu Burak, Roban.

Oleh Adi Safarman