
BETONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Ulu Sungai Skrang diteruskan hari ini dengan tumpuan pencarian dialihkan ke hilir sungai susulan keadaan arus yang surut ke Sungai Batang Skrang.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, insiden membabitkan mangsa dikhuatiri lemas itu dilaporkan semalam pada 4.12 petang di Rumah Siti Tisak, Ulu Sungai Skrang, di sini.
Mangsa dikenali sebagai Denickles Lesen, 20, dilaporkan hilang selepas bot laju yang diuji karam kira-kira 3.51 petang. Saksi memaklumkan mangsa sempat dilihat terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang diketuai Komander Operasi, Abang Muhammad Fhazil Abang Abdul Manaf, tiba di lokasi pada 4.45 petang semalam selepas menempuh jarak kira-kira 21 kilometer.
Memasuki hari kedua operasi hari ini, pasukan bomba bersama enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergerak ke lokasi seawal 7.30 pagi untuk meneruskan pencarian.

Pencarian di permukaan air pada awalnya dijalankan dalam radius dua kilometer menggunakan bot bomba.
Pada 8.00 pagi, Unit K9 turut digerakkan ke lokasi diketuai Dennis Augustine bersama pemegang anjing iaitu Jackson Ringkai dan anjing pengesan, Bella, sebelum tiba di lokasi sekitar 12.00 tengah hari.
Strategi operasi hari ini membahagikan dua pasukan SAR dengan anggota bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pencarian di hulu sungai, manakala Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung menumpukan pencarian di hilir sungai.
Pada 1.00 tengah hari, operasi sebelah petang memberi fokus sepenuhnya ke hilir sungai berikutan arus surut menghala ke Sungai Batang Skrang, dengan radius pencarian diperluaskan sehingga empat kilometer.
Selain JBPM, operasi turut dibantu PDRM, APM, Jabatan Sukarelawan (RELA) serta penduduk kampung yang menggunakan lima perahu persendirian.
Setakat laporan ini dikeluarkan, mangsa masih belum dijumpai dan operasi SAR diteruskan.
Oleh Adi Safarman