

LAWAS: Polis telah menahan empat lelaki tempatan dalam operasi berterusan memerangi penyalahgunaan dadah di Lawas.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan memberitahu tangkapan pertama dibuat pada 9.30 malam tadi bertempat di hadapan pondok pengawal sebuah Jabatan Kerajaan di sini.
“Sepasukan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun, penganggur yang kelihatan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.


“Pemeriksaan terhadap suspek menemukan dan merampas satu paket plastik kecil lutsinar berisi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu serta 16 keratan tiub straw, masing-masing mengandungi hablur kristal disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan 5.15 gram.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah. Semakan rekod lampau pula mendapati suspek mempunyai tiga kesalahan berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada 9.40 malam di lokasi sama, sepasukan polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 28, 31 dan 34 tahun yang bekerja sebagai buruh dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, sasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine (AMP/METH).
“Semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai empat kesalahan berkaitan dadah, seorang lagi mempunyai tiga kesalahan berkaitan dadah, manakala suspek ketiga tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Oleh Adeng Edrus