
SIMANGGANG: Menjelang ketibaan Ramadan, penduduk Kampung Tengah Simanggang menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini terus mengekalkan tradisi tahunan dengan mengagihkan bubur lambuk percuma kepada masyarakat setempat, petang tadi.
Program penuh bermakna itu menyaksikan sebanyak 500 paket bubur lambuk diagihkan kepada penduduk kampung sebagai simbol perkongsian rezeki dan semangat kebersamaan.
Ketua Kaum Kampung Tengah Simanggang, Kiffle Morni berkata, tradisi berkenaan telah menjadi amalan turun-temurun setiap kali menjelang bulan Ramadan.
Menurutnya, walaupun Ramadan belum bermula, penganjuran awal program itu bertujuan menyemarakkan semangat gotong-royong serta memupuk nilai perpaduan dalam kalangan penduduk.
“Saya sangat bangga melihat ahli JKKK dan penduduk kampung bertungkus-lumus menyediakan segala kelengkapan dari awal hingga akhir sehingga berjaya mengagihkan 500 paket bubur lambuk,” katanya.
Beliau berkata, persediaan memasak bermula seawal pagi dengan kerja-kerja menyediakan bahan, memasak, membungkus dan seterusnya mengagihkan bubur kepada penerima.
Tambahnya, semua proses tersebut dilaksanakan sepenuhnya oleh ahli jawatankuasa serta penduduk kampung tanpa mengira usia.
“Apabila tibanya Ramadan, inilah semangat yang kita mahukan, berkumpul bersama, memasak bersama dan berkongsi rezeki dengan orang lain,” ujarnya.
Kiffle menjelaskan, aktiviti mengagihkan bubur lambuk itu bukanlah pertama kali dianjurkan, malah ia antara program yang paling dinantikan setiap tahun oleh penduduk setempat.
Katanya lagi, konsep pengagihan pada tahun ini masih mengekalkan kaedah pandu lalu bagi memastikan proses berjalan lancar dan teratur.
Menurut beliau, selain menyemarakkan suasana menjelang Ramadan, inisiatif tersebut turut bertujuan meringankan beban golongan kurang bernasib baik dengan menyediakan juadah berbuka secara percuma.
Program itu sekali lagi membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan nilai muafakat terus subur dalam komuniti Kampung Tengah, menjadikan tradisi bubur lambuk sebagai simbol perpaduan yang kekal relevan saban tahun.
Oleh Adi Safarman