Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Ibu enam anak tidak kekok jadi mekanik
  • INSPIRASI

Ibu enam anak tidak kekok jadi mekanik

Utusan Sarawak 9 hours ago
ZAINAB Salim, 45, melakukan kerja-kerja membaiki kotak gear transmisi automatik milik pelanggan ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Alor Saji, Jertih. Foto BERNAMA

JERTIH: Bermula dengan hanya ingin membantu suami 14 tahun lepas, seorang ibu kepada enam anak kini semakin dikenali di daerah Besut sebagai mekanik yang mahir.

Zainab Salim, 45, dari Kampung Gerai di sini ternyata tidak kekok memilih bidang automotif yang selama ini didominasi golongan lelaki sebagai kerjaya.

Malah wanita tersebut turut menjadi perhatian dalam kalangan pemilik kereta di Terengganu dan Kelantan kerana mempunyai kemahiran tinggi dalam membaiki kotak gear.

“Pada mulanya saya hanya memerhati suami, Zahari Mohd Zin, 59, bekerja membaiki kenderaan sebelum saya mula membantu beliau melakukan kerja-kerja tersebut di rumah. 

“Selepas itu, minat untuk membaiki kenderaan semakin tinggi apabila saya berjaya membaiki sendiri komponen enjin kenderaan yang rosak,” katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya di Kampung Alor Saji di sini.  

ZAINAB Salim dibantu anak keduanya Muhammad Azani Zahari, 19, membaiki enjin diesel kenderaan pacuan empat roda (4X4) milik pelanggannya. Foto BERNAMA

Zainab berkata beliau bermula dengan membaiki enjin petrol dan diesel, sebelum menguasai kemahiran membaiki kotak gear transmisi manual diikuti transmisi automatik. 

Katanya sejak awal lagi, bengkelnya sering menjadi tumpuan pelanggan kerana pada waktu itu, hanya beliau yang mahir membaiki komponen kotak gear transmisi automatik di sekitar Besut. 

“Ketika itu, pemilik kereta akan terus menukar keseluruhan kotak gear transmisi automatik jika rosak sama ada baharu atau terpakai. Namun, saya akan cuba membaiki bahagian yang rosak tanpa perlu tukar keseluruhan. Jadi, dapat menjimatkan wang pelanggan dan ketahanan kotak gear lebih terjamin,” katanya yang kini menumpukan kepada kerja membaiki kotak gear automatik sahaja. 

Sejak empat tahun lepas, Zainab bersendirian melakukan kerja-kerja di bengkel setelah suaminya diserang strok dan masalah saraf sehingga hilang penglihatan. 

Namun, beliau bersyukur kini anak keduanya Muhammad Azani, 19, sering membantunya untuk memasang atau menurunkan kotak gear yang berat terutama membabitkan kenderaan pacuan empat roda.

Beliau juga gembira kerana semakin ramai pelanggan mengetahui kebolehannya sehingga ada yang sanggup datang jauh dari luar Terengganu, meskipun sebelum ini ada yang meragui kebolehannya. 

Malah kemahirannya itu menyebabkan beliau pernah dijemput oleh sebuah pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di daerah ini untuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar jurusan automotif. 

“Namun seperti bidang kerjaya yang lain, pastinya akan ada cabaran. Saya juga terpaksa menempuhi pelbagai dugaan seperti ada pelanggan yang tidak membayar upah, mengelak untuk membayar hutang dan sebagainya,” katanya yang pernah bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan di Besut sebelum ini. 

Beliau berkata selain anak kedua, anak sulungnya Muhammad Hakimie, 21, turut mempunyai kemahiran membaiki kereta tetapi buat masa ini tidak bekerja dalam bidang automotif.

Sementara itu, Zainab turut menjadikan senaman sebagai rutin agar kekal sihat untuk mencari rezeki bagi menyara empat lagi anaknya yang masih bersekolah.

  • Bernama
Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Dato Sri Bo’ Tajang Laing raikan ulang tahun ke-100, seabad khidmat dan untuk masyarakat Orang Ulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.