SIBU: Batang Rajang telah mengambarkan bentuk perpaduan yang kukuh dalam masyarakat majmuk di Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia dilakukan menerusi pelaksanaan pelbagai bentuk projek pembangunan di kawasan wilayah tengah Sarawak menerusi suntikan dana yang besar.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai bentuk projek pembangunan termasuk jambatan, jalan dan sebagainya di kawasan wilayah tengah ini.
“Ada yang bertanya dari mana dapat duit, saya pandai baca bajet dan peruntukan. Petronas dan anak-anak syarikatnya berjaya membayar Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum lebih RM3.1 bilion.
“Jumlah tersebut adalah untuk tempoh setahun, ini bermakna untuk lima tahun Sarawak akan mendapat RM15 bilion.
“Ini yang kita capai dan pendapatan Sarawak akan terus bertambah, ini adalah cara saya untuk mendapatkan pendapatan lebih untuk negeri Sarawak.
“Justeru itu, berilah Gabungan Parti Sarawak (GPS) kuasa untuk meneruskan usaha ini,” jelasnya.
Ketua Menteri berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Sibu berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, Kerajaan GPS menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri demi untuk menguruskan pentadbiran negara berikutan perletakkan Tun Dr. Mahatdir Mohamad.
“Tun Mahatdir meletak jawatan Perdana Menteri kerana mereka tidak sehaluan, ada yang tidak mahu Dato Sri Annuar Ibrahim sebagai Perdana. Jadi, Tun Mahadir meletak jawatanlah.
“Apabila Tun Mahatdir meletak jawatan, kita menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri untuk mentadbir urus negara terutamanya dalam mengharungi tempoh pandemik Covid-19,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, dalam tempoh menghadapi cabaran sukar pandemik Covid-19 masih ada juga mereka yang berebut jawatan Perdana Menteri.
“Usaha berebut jawatan Perdana Menteri tidak pandai habis. Dalam tempoh sukar ini pun masih ada juga yang berebut,” ujarnya.
Katanya, GPS akan meneruskan usahanya dalam mengutamakan hak Sarawak demi untuk semua rakyat Sarawak.
“Berilah mandat kepada GPS, Insya- Allah kita akan dapat lebih pembangunan untuk Sarawak. Waktu dah hampir, bila beduk berbunyi marilah kita turut sama-sama mempertahankan GPS,” ujarnya.
Ketua Menteri turut memberitahu, Sarawak menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Penubuhan UNIFOR adalah demi untuk memastikan pembangunan adalah untuk semua agama di Sarawak. Negeri-negeri lain ingin mencontohi usaha Sarawak dalam menubuhkan UNIFOR,” ujarnya.
Oleh AKUN GIMAN, EARL ANEK & NURZILLA MOHAMAD Foto OTHMAN ISHAK