Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sarawak rancang bina Pusat Sukan Prestasi Tinggi
  • SUKAN

Sarawak rancang bina Pusat Sukan Prestasi Tinggi

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media selepas menghadiri program flag off di Pejabat Dayak Daily, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang menubuhkan sebuah Pusat Sukan Prestasi Tinggi sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan atlet negeri ini menerusi pendekatan berasaskan sains sukan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, era latihan konvensional tanpa sokongan saintifik sudah tidak lagi relevan dalam landskap sukan moden.

Menurutnya, sains sukan meliputi aspek pemakanan, pengukuhan fizikal mengikut keperluan disiplin tertentu serta pembangunan mental atlet bagi memastikan prestasi berada pada tahap optimum.

“Sukan hari ini memerlukan pendekatan lebih sistematik. Kita perlu melihat kepada pemakanan, bahagian tubuh yang perlu diberi fokus dan kekuatan mental atlet. Itulah peranan sains sukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program D’drift Flag Off di pejabat Dayak Daily, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menjalankan tinjauan awal termasuk lawatan ke Australia, New Zealand dan Korea Selatan bagi meneliti model pusat prestasi tinggi yang sesuai dilaksanakan di Sarawak.

Mengambil contoh New Zealand, beliau berkata negara yang mempunyai populasi sekitar empat juta itu berjaya meraih 18 pingat pada Sukan Olimpik Rio 2016 hasil sistem latihan berpusat dan penggunaan kemudahan prestasi tinggi secara menyeluruh.

Katanya, atlet negara berkenaan ditempatkan di pusat khas beberapa bulan sebelum temasya utama bagi menjalani latihan intensif termasuk penyesuaian terhadap faktor cuaca melalui kemudahan simulasi iklim.

Abdul Karim memaklumkan bahawa tapak pembinaan pusat tersebut telah dikenal pasti di dalam kawasan Kompleks Sukan Sarawak dan kini dalam perbincangan lanjut dengan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan berhubung aspek pengurusan dan tenaga pakar.

Beliau berkata, tanah seluas sekitar 27 hektar dalam kompleks berkenaan yang sebelum ini diperuntukkan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikembalikan kepada kerajaan negeri, sekali gus membuka ruang perancangan kemudahan tambahan termasuk velodrom.

Selain itu, kerajaan negeri turut meneliti cadangan mendapatkan tanah persendirian berhampiran bagi memperluas kemudahan lapang sasar bagi disiplin skeet dan trap sebagai persediaan menghadapi kejohanan utama.

Beliau berharap pusat tersebut dapat direalisasikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan menegaskan bahawa kemudahan yang dibina menggunakan dana awam perlu memberi manfaat kepada rakyat serta tidak dibiarkan menjadi projek yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Arteta alu-alukan saingan Madueke, Saka untuk tempat utama

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.