
KUCHING: Program D’Drift 2026: Tracing Stories Along the Coastal Road anjuran DayakDaily bukan sahaja memberi tumpuan kepada penceritaan dan promosi pelancongan, malah turut meneruskan komitmen sosial melalui inisiatif ‘Bless Rural Children with Your Books’ yang memasuki edisi kelima tahun ini.
Menerusi ekspedisi kali ini, pasukan D’Drift akan singgah di Kampung Rajang, Belawai untuk menyerahkan 1,000 buku bagi memperkasa perpustakaan tempatan di kawasan berkenaan.
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Business Events Sarawak (BE Sarawak) serta disokong oleh Persatuan Wartawan Bebas Kuching (Pewarta), dengan matlamat menyemai minat membaca dan menyediakan sumber pendidikan kepada komuniti luar bandar yang mempunyai akses terhad kepada bahan bacaan
Setiap sumbangan yang disalurkan bukan sahaja memperkaya perpustakaan dan sudut bacaan setempat, malah diharap dapat mencetuskan rasa ingin tahu, kegembiraan serta semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan kanak-kanak.

Sejak diperkenalkan pada 2022, program berkenaan telah memberi impak nyata di beberapa kawasan pedalaman Sarawak. Lebih 1,000 buku telah diserahkan kepada SK Lusong Laku untuk manfaat kanak-kanak Penan pada tahun pertama pelaksanaannya.
Pada 2023, lebih 1,000 buku cerita dan dua beg besar mainan lembut telah dihantar kepada komuniti Orang Ulu di Ulu Belaga, manakala pada 2024, sebanyak 1,340 buku terpakai serta tiga kotak mainan lembut disalurkan ke Sudut Bacaan Pusat Perkhidmatan Penan Long Latei di Ulu Baram.
Tahun lalu, lebih 1,000 buku dan 10 beg besar mainan lembut turut diserahkan kepada komuniti di Tarat menerusi inisiatif yang sama.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BE Sarawak, Jason Tan berkata, setiap ekspedisi D’Drift bukan sekadar menelusuri kisah dan tradisi Sarawak, malah membawa impak bermakna kepada komuniti setempat.
Katanya, sokongan terhadap program ‘Books Build Legacy’ melalui penyerahan buku ke Belawai mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pembaca muda, mengukuhkan hubungan komuniti dan memastikan peluang pendidikan sampai kepada kanak-kanak yang memerlukannya.
“Setiap perjalanan D’Drift juga merupakan peluang untuk memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.
BE Sarawak menyokong inisiatif ‘Bless Rural Children with Your Books’ sejak 2022 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Books Build Legacy’ yang memberi tumpuan kepada usaha memupuk budaya membaca dan literasi khususnya di kawasan luar bandar.
Dengan menggabungkan elemen kembara, penceritaan dan jangkauan komuniti, D’Drift terus membuktikan komitmen DayakDaily terhadap pemeliharaan budaya, pendidikan dan tanggungjawab sosial, sekali gus memastikan setiap perjalanan membawa manfaat yang berkekalan kepada masyarakat pedalaman.
Oleh Shikin Mahmud