

BINTULU: Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintulu akan menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 pada Ahad ini (22 Februari), bertempat di Dewan Suarah Bintulu.
Majlis yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu dijangka menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh muhibah sempena sambutan Tabun Baharu Cina Tahun Kuda.
Majlis berkenaan akan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, program tahunan itu merupakan platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di Bintulu.
“Rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi tradisi perayaan, malah medan untuk kita saling berinteraksi, memperkukuh persefahaman dan menyemai semangat perpaduan,” katanya.
Pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk persembahan tarian singa, pertunjukan kebudayaan serta nyanyian oleh bakat-bakat tempatan.
Para pengunjung juga akan dihidangkan dengan pelbagai juadah perayaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihak penganjur turut menyediakan bubur lambuk khas buat masyarakat Islam memandangkan majlis tersebut berlangsung dalam bulan Ramadan, sebagai tanda penghormatan dan semangat keharmonian antara kaum.
Johnny Pang turut mengajak orang ramai tanpa mengira latar belakang untuk hadir bersama keluarga bagi memeriahkan sambutan tersebut.
“Marilah kita bersama-sama meraikan TBC dalam suasana penuh kegembiraan, memperkukuh perpaduan serta menyambut tahun baharu dengan semangat baharu,” ujarnya.
Justeru, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Dewan Suarah Bintulu pada 22 Februari ini bagi memeriahkan sambutan tersebut.