
KUALA LUMPUR: Walaupun baharu setahun jagung dalam dunia lakonan, Qasrina Karim tidak mahu leka di zon selesa, sebaliknya pelakon meningkat naik itu memilih untuk mencabar diri dengan membawakan watak yang lebih berat dalam naskhah terbaharunya.
Qasrina atau mesra disapa Qas, 30, mengakui, karakter kali ini benar-benar menguji kemampuan lakonannya kerana perlu menghidupkan karakter seorang wanita yang berdepan trauma serta high-functioning depression atau kemurungan fungsi tinggi.
Bagi menjayakan watak itu, Qasrina tidak bergantung pada skrip semata-mata, tetapi turut membuat persediaan rapi termasuk mengkaji isu kesihatan mental serta mendapatkan pandangan rakan yang merupakan pakar psikologi klinikal.
“Ia mengisahkan seorang wanita terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga ibu yang sakit sambil melakukan pelbagai kerja sambilan demi meneruskan kehidupan.

Dia melalui pelbagai konflik dalaman seperti trauma, kemurungan dan kebimbangan. Ia sangat mencabar kerana Qas perlu memahami emosi seorang ibu serta individu yang bergelut dengan tekanan mental.
“Qas kaji dan rujuk dengan kawan yang pakar dalam bidang ini untuk tahu bagaimana orang menghidap depresi. Dari luaran, tak nampak apa kerana mereka kelihatan normal tetapi kita tak tahu internal struggles mereka. Semua itu adalah perkara yang Qas belajar,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.
Lebih daripada sekadar tuntutan lakonan, pelakon drama Imam Instant Ustazah Scammer itu percaya karakter yang dibawanya mampu mencerminkan realiti segelintir masyarakat yang berdepan isu kesihatan mental, tanpa disedari oleh orang sekeliling.
Katanya penerimaan watak berkenaan juga didorong keinginannya untuk terus berkembang sebagai pelakon, selain tertarik dengan kekuatan skrip yang disifatkan berbeza daripada drama yang pernah dilakonkannya.
Berkongsi mengenai perancangan sepanjang Ramadan yang bakal tiba, Qasrina merancang memperuntukkan masa bersama keluarga serta memberi lebih tumpuan kepada ibadah sebaik sahaja komitmen kerja selesai.
“Dulu Qas fikir bulan puasa mungkin masa untuk berehat, tetapi bila tawaran kerja datang, Qas anggap itu rezeki. Awal Ramadan mungkin masih bekerja, selepas itu Qas mahu lebih fokus kepada keluarga dan ibadah. Puasa sebenarnya tidak menghalang apa-apa,” katanya. – Bernama