Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Struktur bangunan lama akan dikaji, keselamatan awam keutamaan
  • Tengah
  • WILAYAH

Struktur bangunan lama akan dikaji, keselamatan awam keutamaan

Utusan Sarawak 9 hours ago
TING ditemui media ketika sesi kunjungan Tahun Baharu Cina hari ini.

SIBU: Insiden runtuhan lapan unit rumah kedai di Jalan Pahlawan baru-baru ini mendorong Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mempertimbangkan kajian struktur secara menyeluruh terhadap bangunan lama di bandar ini, dengan aspek keselamatan awam diberi keutamaan.

Pengerusi MPS, Clarence Ting menegaskan, bangunan yang terjejas ketika ini masih tidak selamat dan tidak stabil untuk dimasuki.

“Buat masa ini, bangunan tersebut tidak selamat. Ia masih tidak stabil dan kita tidak membenarkan sesiapa masuk ke dalam premis berkenaan,” katanya ketika ditemui media semasa kunjungan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Menurut beliau, satu mesyuarat yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahlawan, Michael Tiang Ming Tee telah diadakan bagi membincangkan tindakan lanjut berhubung insiden tersebut.

Katanya, sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan selepas 23 Februari ini, sementara menunggu penilaian dan cadangan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

CLARENCE Ting dan isteri menerima kunjungan wakil media sempena Tahun Baharu Cina di kediamannya.

Mengulas sama ada kejadian itu akan mencetuskan pemeriksaan menyeluruh terhadap bangunan lama lain di Sibu, beliau mengakui satu kajian lebih luas perlu dilaksanakan demi keselamatan orang ramai.

“Demi keselamatan awam, satu kajian memang perlu dijalankan. Namun, pengumuman mengenai langkah pencegahan mungkin akan memberi tumpuan kepada kawasan terjejas terlebih dahulu,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada tanda-tanda tekanan struktur dikesan pada rumah kedai berhampiran, namun keseluruhan blok berkenaan telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

“Tiada tanda kerosakan pada unit lain. Hanya lapan unit terlibat. Tetapi keseluruhan blok tidak boleh dimasuki kerana sebarang pergerakan di dalamnya boleh mendatangkan bahaya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemilik rumah kedai di blok terlibat supaya segera menghubungi MPS bagi mempercepatkan tindakan susulan.

“Jika bangunan itu diisytiharkan tidak selamat dan perlu dirobohkan, pemilik perlu bertindak segera. Bangunan ini bukan milik kerajaan, sebaliknya milik persendirian,” tegasnya.

Beliau menambah, keputusan sama ada struktur berkenaan perlu dirobohkan, dibuka satu persatu atau dibaik pulih adalah tertakluk kepada penilaian teknikal JKR sebagai pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, anggota polis masih ditempatkan di lokasi kejadian bagi menghalang orang awam daripada menghampiri kawasan tersebut.

Ting turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas kerjasama memastikan keselamatan awam terpelihara.

Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap keadaan bangunan komersial lama di bandar ini, sekali gus mendorong MPS meneliti langkah jangka panjang bagi memperkukuh pemantauan struktur serta menggalakkan laporan awal sekiranya terdapat keretakan atau ketidakteraturan pada bangunan.

Beliau turut mengingatkan pemilik premis supaya segera memaklumkan kepada pihak majlis sekiranya mengesan sebarang kerosakan atau perubahan luar biasa pada struktur bangunan masing-masing.

“Ini proses jangka panjang. Jika pemilik nampak sesuatu yang luar biasa, laporkan kepada SMC dengan segera,” ujarnya.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Sambutan Tahun Baharu Cina bukti kebersamaan masyarakat Sarawak
Next: Warga IPD Lawas perkukuh ukhuwah sempena Ihya Ramadan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.