
PETRA JAYA: Kekuatan sebenar Sarawak yang membolehkannya berdiri teguh sebagai negeri contoh di Malaysia terletak pada semangat perpaduan dan sikap saling menghormati antara kaum yang tidak berbelah bahagi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan bahawa tradisi kunjung-mengunjung melalui rumah terbuka merupakan instrumen penting yang perlu dipelihara demi memastikan keharmonian ini berkekalan buat generasi akan datang.
”Rumah terbuka seperti ini mengingatkan kita bahawa kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan dan sikap saling menghormati, dan inilah yang perlu terus kita pelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir mengiringi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Suasana di BCCK hari ini bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi manifestasi ‘Segulai Sejalai’ apabila ribuan rakyat daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama berkumpul di bawah satu bumbung.
Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi negeri dan Persekutuan pada majlis tersebut turut membuktikan komitmen kerajaan dalam menjunjung tinggi kepelbagaian budaya.

Antara tokoh utama yang hadir termasuk Tan Sri Asfia Awang Nassar (Speaker DUN Sarawak); Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah (Yang Di-pertua Dewan Negara); Anggota Kabinet Negeri dan Persekutuan Ketua-ketua Jabatan dan Pemimpin Masyarakat.
Menurut Uggah, selain memeriahkan suasana perayaan, rumah terbuka berfungsi sebagai ruang interaksi mesra yang mampu merapatkan jurang sosial antara pemimpin dan rakyat.
Beliau yang hadir bersama isteri, Datin Amar Dato Doreen Mayang, meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung yang hadir seawal pagi untuk merasai kemeriahan sambutan tahunan tersebut.
Penganjuran acara berprestij ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai model integrasi nasional, di mana perbezaan budaya diraikan sebagai aset, bukannya liabiliti.
Oleh Adi Safarman