
SIBU: Suasana di Lapangan Terbang Sibu bertukar ceria dan penuh warna-warni apabila para penumpang yang tiba bersempena sambutan Tahun Baharu Cina diraikan menerusi program khas sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), hari ini.
Penerbangan dari Kuala Lumpur yang mendarat pada 11.40 pagi menjadi tumpuan apabila para pengunjung disambut dengan edaran buah limau mandarin, cenderahati rasmi TMM2026 serta persembahan tarian singa yang menceriakan balai ketibaan.
Hadir menyambut ketibaan penumpang ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Horh; Safidi Tumboh mewakili Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman serta wakil daripada Sarawak Tourism Board (STB).

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada siri sambutan anjuran Tourism Malaysia di lapangan terbang utama seluruh negara sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina, dalam usaha menonjolkan keunikan warisan budaya pelbagai kaum di Malaysia kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Sambutan sama turut diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Bintulu dan Lapangan Terbang Miri sebagai simbolik sokongan bersepadu terhadap kempen TMM2026 di peringkat negeri.
Selain persembahan tarian singa, pengunjung turut menyaksikan upacara tradisional yee sang yang melambangkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
Menambah kemeriahan, maskot rasmi TMM2026, Wira dan Manja, tampil berinteraksi serta bergambar bersama pengunjung, sekali gus mewujudkan pengalaman ketibaan yang lebih bermakna.
Menurut Tourism Malaysia, penganjuran sambutan perayaan di pintu masuk utama negara merupakan antara strategi berterusan di bawah TMM2026 bagi mengukuhkan penjenamaan destinasi, selain mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat, mesra dan kaya dengan kepelbagaian budaya sepanjang tahun.
Inisiatif tersebut juga selari dengan objektif TMM2026 untuk memperkasa profil pelancongan negara di peringkat global di samping menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang sektor pelancongan negara.
Oleh Tarani Lanting