
KUALA LUMPUR: Pada usia 59 tahun, Ella terus mengukuhkan status sebagai ratu rock negara termasuk dengan kebolehan berlari dan melompat tanpa lelah di hadapan hampir 60,000 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen menyaksikan Ella atau Nor Zila Aminuddin yang tampil dengan persalinan putih ringkas, menguasai pentas dari satu penjuru ke penjuru lain tanpa gimik berlebihan, sambil mengekalkan kekuatan vokal seolah-olah dua dekad tidak pernah berlalu.
Menghiburkan peminat dengan 30 lagu, Ella yang mencipta nama pada era 1990-an membawa penonton menyusuri perjalanan seninya menerusi lagu ikonik seperti Rama-Rama, Kesal, Raguku, Bolero, Sembilu, Pedih, Rindu, Permata Pemotong Permata, Nuri dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Momen paling istimewa hadir dalam segmen kolaborasi yang menyatukan legenda dan generasi baharu antaranya Datuk Amy Search untuk lagu Dua Insan Bercinta, serta pertemuan semula Ella dengan vokalis Spider, Tam mendendangkan Dunia Batinku buat kali pertama dalam tempoh hampir dua dekad.
Penyanyi hip hop, Joe Flizzow menambah elemen kontemporari melalui Bayangan manakala penyanyi berbakat besar Amir Masdi menyuntik warna generasi baharu menerusi Baldu Biru dan Sam Bunkface melalui Istimewa, menjadikan persembahan tersebut sebagai jambatan antara era.
Kemunculan semula Ella & The Boys di pentas menjadi detik emosi tidak ternilai kerana kumpulan itu menjadi tulang belakang kebangkitannya sehingga akhirnya mengukuhkan status Ella sebagai ikon wanita dalam dunia rock tanah air.

Kemuncak konsert tercipta apabila Ella menaiki replika bas dua tingkat mengelilingi stadium sambil mendendangkan Standing In The Eyes Of The World, lagu tema Sukan Komanwel 1998 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.
Bas itu membawa barisan jaguh sukan negara termasuk jaguh skuasy dunia Datuk Nicol David, bekas gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi, atlet paralimpik Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan atlet lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli, menjadikan segmen itu lambang penyatuan seni dan sukan di pentas nasional.
Puluhan ribu peminat yang berdiri dan bersama-sama menyanyikan lagu itu menjadikan momen tersebut lebih istimewa.
Menjelang penghujung persembahan, tempo kembali dipacu dengan Pengemis Cinta dan Nuri sebelum tirai ditutup menerusi Gemilang yang menyatukan seluruh stadium dalam satu paduan suara dengan puluhan ribu peminat menyanyikan setiap bait lirik tanpa henti.

Sorakan dan tepukan berlarutan beberapa minit selepas lagu terakhir bergema, menandakan bahawa yang diraikan bukan sekadar rangkaian lagu, tetapi perjalanan panjang seorang legenda yang masih teguh berdiri dalam kelas tersendiri.
Dalam sidang media selepas konsert, Ella meluahkan rasa syukur apabila sasaran yang ditetapkan berjaya dicapai dan menyifatkan persembahan itu sebagai suatu detik istimewa dalam perjalanan seninya.
“Sasaran kita tercapai dengan cemerlang. Saya sangat gembira malam ini,” katanya.
Mengulas tenaga luar biasa yang dipamerkan sepanjang konsert itu, Ella mengakui inspirasi itu banyak didorong suami, Azhar Husaini Ghazali yang sentiasa memberi dorongan dan semangat dalam setiap fasa perjalanan seninya.
Lebih bermakna, konsert itu bukan hanya hiburan, tetapi sumbangan RM2 daripada setiap tiket berjaya mengumpul RM60,000 untuk Persatuan Cinta Gaza Malaysia serta RM20,000 masing-masing buat Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.
Dari sudut produksi, rekaan pentas dan tata cahaya berjaya memukau, meskipun sistem bunyi sedikit terganggu di beberapa bahagian stadium yang berkapasiti 80,000.
Namun, kekurangan teknikal itu tidak mengurangkan impak keseluruhan persembahan dengan hampir 60,000 peminat meninggalkan lokasi dengan satu keyakinan yang sama bahawa pada usia 59 tahun, Ella masih ratu rock negara yang sukar digugat. -Bernama