Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tun Wan Junaidi gesa rakyat pelihara perpaduan, nikmati kemakmuran bersama
  • SEMASA

Tun Wan Junaidi gesa rakyat pelihara perpaduan, nikmati kemakmuran bersama

Utusan Sarawak 5 hours ago
TUN Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah merakamkan ucapan Tahun Baharu Cina kepada rakyat Sarawak, sambil menekankan kepentingan semangat Segulai Sejalai.

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menggesa seluruh rakyat negeri ini agar terus memelihara perpaduan dan memperkukuh kerjasama demi memastikan kemakmuran Sarawak dapat dinikmati secara adil oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam perutusan sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang akan diraikan pada esok hari, beliau berkata Tahun Kuda yang menjelang tiba secara tradisionalnya melambangkan semangat, keberanian dan peluang baharu yang memerlukan tindakan pantas serta fokus yang tinggi.

“Tahun Kuda dianggap membawa perubahan pesat dan menjanjikan ganjaran kepada mereka yang rajin, berani serta komited,” katanya.

Beliau dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh komuniti Cina di Sarawak dan di mana sahaja berada dengan ucapan “Gong Xi Fa Cai”.

Menurut beliau, seperti perayaan kaum lain, Tahun Baharu Cina menitikberatkan perpaduan keluarga, khususnya menerusi amalan Makan Besar pada malam sebelum perayaan yang menghimpunkan ahli keluarga untuk mengeratkan hubungan, meluahkan kesyukuran serta menghormati nenek moyang.

Katanya, di Sarawak, sambutan itu juga menjadi simbol keharmonian menerusi tradisi Rumah Terbuka yang membuka ruang kepada masyarakat berbilang kaum untuk saling berkunjung, memahami budaya serta mengukuhkan semangat muhibah.

“Saya dan Toh Puan Fauziah amat bangga melihat budaya Rumah Terbuka sentiasa meriah pada setiap perayaan di Sarawak dan kekal menjadi tradisi yang mencerminkan perpaduan utuh antara pelbagai kaum di negeri ini.

“Ia adalah masa istimewa untuk kita Segulai Sejalai dalam mengamalkan semangat perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara,” ujarnya.

Beliau turut mengibaratkan perpaduan rakyat seperti tradisi Yee Sang yang digaul bersama pelbagai ramuan untuk menghasilkan rasa manis dan unik, sekali gus melambangkan kepelbagaian budaya, bahasa dan tradisi yang apabila disatukan akan membentuk wilayah yang lebih kukuh, harmoni dan progresif.

Menyentuh agenda pembangunan, beliau berkata kerajaan Sarawak akan terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri serta memastikan kemakmuran yang dikecapi dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan rakyat, termasuk golongan B40 dan M40.

Dalam hal ini, komuniti perniagaan digesa agar terus bekerjasama dan berganding bahu dengan kerajaan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Beliau menegaskan masyarakat Cina telah lama memainkan peranan penting dalam pembangunan Sarawak, khususnya dalam bidang ekonomi dan keusahawanan termasuk perdagangan, pertanian komersial, perusahaan moden, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelaburan.

“Selain memajukan ekonomi keluarga, mereka turut menjadi antara tulang belakang pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya, sambil menambah komuniti tersebut juga signifikan dalam sektor politik, pendidikan dan sosial.

Sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), beliau berkata kerajaan bersikap telus dan inklusif dalam menjaga kebajikan semua rakyat termasuk komuniti Cina.

Antara inisiatif dilaksanakan termasuk peruntukan sekitar RM22 juta pada 2024 kepada sekolah aliran Cina, iaitu RM12 juta untuk Sekolah Rendah Bantuan Cina dan RM10 juta untuk Sekolah Menengah Bantuan Cina, meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Kerajaan Sarawak juga terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke universiti milik Sarawak termasuk dalam bidang strategik seperti teknologi satelit dan aeroangkasa.

Selain itu, pelbagai bantuan kebajikan disalurkan sempena perayaan melalui Program Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, di samping bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta peruntukan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menaik taraf rumah ibadat dan tokong di seluruh negeri.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua komuniti termasuk masyarakat Cina yang berkhidmat sebagai petugas barisan hadapan, sukarelawan dan pemimpin komuniti demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman agar memandu dengan cermat dan selamat sampai ke destinasi masing-masing, selain mengambil peluang mengeratkan hubungan kekeluargaan serta menyemai kasih sayang antara generasi.

“Akhir kata, sekali lagi Gong Xi Fa Cai. Semoga tahun ini membawa sinar baharu, kebahagiaan dan kejayaan berterusan kepada keluarga serta Sarawak yang kita cintai,” katanya.

Continue Reading

Previous: Himpunan di ibu negara: Siasatan dijalankan bagi pastikan tiada isu 3R dikaitkan – Polis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.