
SIBU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu mengesahkan telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan bahawa pintu kaca sebuah premis bank di Jalan Lanang telah pecah akibat dipercayai ditembak.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 3.01 petang tadi.
“Menurut keterangan saksi, terdapat dua orang lelaki menaiki motosikal, di mana salah seorang daripada mereka telah melepaskan satu das tembakan menggunakan senjata api yang dipercayai jenis pistol sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, pihak polis telah menjumpai satu kelongsong peluru dan satu butir peluru hidup yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.
“Walau bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.
Zulkipli berkata, pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat serta motif sebenar kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes atau mana-mana balai polis berhampiran,” kata beliau.
Oleh Akun Giman