
KUCHING: Affendi Jeman sah dipilih sebagai Presiden Parti Sedar Rakyat bagi sesi 2026–2029 pada Kongres Umum Tahunan ke-7 parti itu hari ini, selepas penyandang, Dato Othman Abdullah, menarik diri bagi memberi laluan.
Peralihan kepimpinan tersebut berlangsung dalam suasana harmoni dan disifatkan sebagai langkah matang demi memastikan kesinambungan perjuangan parti.
Dalam ucapan sulungnya, Affendi menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan perwakilan serta merakamkan terima kasih kepada Othman atas sumbangan sepanjang menerajui parti sebelum ini.
Beliau menegaskan keutamaan kepimpinan baharu adalah memperkukuh struktur organisasi, memperkemas gerak kerja di peringkat akar umbi serta memperluas penyertaan golongan belia dan wanita dalam parti.
Kongres itu turut menyaksikan pembentukan barisan kepimpinan baharu apabila Jenau Masing dipilih sebagai Timbalan Presiden, manakala jawatan Naib Presiden I disandang Abdul Halim Abdullah.
Muhamad Musyrin Hendri pula diberi mandat sebagai Naib Presiden II (Belia), sementara Masmamis Mohamed Yusof menggalas tanggungjawab Naib Presiden III (Wanita).
Bagi jawatan Setiausaha Agung, Hussain Zainudin dipilih untuk mengemudi pentadbiran parti dengan dibantu Raduan Abdul Rahman sebagai Penolong Setiausaha Agung.
Saferi Muhamad Suhali dilantik sebagai Bendahari Agung, manakala Izzatul Sofiah Hussain memegang jawatan Penolong Bendahari Agung.
Selain itu, beberapa nama turut mengisi kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), termasuk Fazliza Hipeni, Bakri Jeman, Abang Yusuff Abang Othman, Ahmad Joti Bakawi, Julina Jaol, Dayang Meria Abee, Noraida Along dan Roslan Ismail.
Pemerhati melihat barisan kepimpinan yang menggabungkan pengalaman dan tenaga baharu itu sebagai usaha meremajakan parti serta memperkukuh kedudukan Parti Sedar dalam landskap politik semasa.
Dengan kepimpinan baharu yang terbentuk, parti berkenaan dijangka menyusun strategi lebih tersusun dalam memperjuangkan agenda dan mendekati rakyat di semua peringkat.
Selepas menarik diri dari bertanding jawatan Presiden Parti Sedar, Othman Abdullah dilantik sebagai Penasihat Parti Sedar oleh Affendi Jeman.
Affendi Jeman merupakan tokoh perniagaan dan figura politik yang matang yang baru sahaja menyertai Parti Sedar pada Disember 2025 dan terus mencabar kepimpinan parti.
Beliau sebelum ini dikenali sebagai pengerusi penaja UMNO Sarawak dan berpengalaman dalam arena politik negeri.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Affendi pernah bertanding sebagai calon bebas pro-Barisan Nasional (BN) di Parlimen Santubong, di mana beliau memperoleh ribuan undi walaupun tidak menang.
Othman Abdillah ialah tokoh yang telah menerajui Parti Sedar Rakyat sejak penubuhan parti itu pada 2018 dan memimpin sehingga sesi pemilihan 2026. Parti itu telah didaftarkan secara rasmi pada 28 Mei 2019 di Sarawak di bawah kepimpinan beliau.
Di bawah pimpinan Othman, Parti Sedar telah berkembang daripada sebuah parti negeri kepada status parti nasional, selepas diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) pada 7 Ogos 2025, selaras dengan strategi memperluas sayap parti di luar Sarawak termasuk Sabah serta negeri lain yang mempunyai industri minyak dan gas.
Beliau juga pernah dipilih semula secara tidak bertanding sebagai presiden pada sesi 2022–2025, menunjukkan kedudukan kukuhnya dalam parti sebelum ini.
Oleh Shahrul Qaizat