

LAWAS: Dua suspek telah ditahan berhubung kejadian pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan di kawasan Trusan, baru-baru ini.
Pergaduhan tersebut dilaporkan melibatkan tiga individu dan mengakibatkan seorang mangsa cedera parah di rusuk kiri.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, memberitahu bahawa pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 7.58 malam, Jumaat lepas.
“Menurut laporan, sepupu pengadu diserang oleh tiga individu dikenali menggunakan senjata tajam dan mengalami cedera parah di rusuk kiri. Mangsa segera dibawa ke Hospital Lawas untuk rawatan,” katanya.
Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis berjaya menahan dua suspek yang terlibat untuk siasatan lanjut di Balai Polis Lawas.
Suspek pertama lelaki tempatan berusia 54 tahun yang bekerja sebagai buruh dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Suspek kedua lelaki tempatan berusia 34 tahun, juga bekerja sebagai buruh, dan semakan mendapati tiada rekod kesalahan lampau.
Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine.
Siasatan awal polis mendapati pergaduhan itu berpunca daripada hal peribadi antara mangsa dengan suspek yang masih bebas. Usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama 7 hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihak polis turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes ini segera dan diminta tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.
Oleh Adeng Edrus