
MUKAH: Seorang lelaki warga emas ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian atas talian dalam serbuan di kaki lima bangunan sebuah premis perniagaan di pasar baru Selangau.
Ketua Polis Dearah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek warga tempatan berumur 60 tahun itu, ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada jam lebih kurang 1.30 petang.
“Hasil pemeriksaan telefon bimbit suspek telah menjumpai aplikasi 918 kiss yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian atas talian.

Telefon bimbit suspek telah dirampas untuk dijadikan sebagai barang kes.
“Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM50. Suspek dan barang kes dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tujuh rekod berkaitan dengan kesalahan jenayah dan dadah.
“Ujian urin ke atas suspek mendapati beliau negatif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun,” tegasnya.
Oleh Akun Giman