
SIBU: Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding, menegaskan bahawa pembayaran RM1.8 bilion bagi pengambilalihan Pelabuhan Bintulu bukanlah satu tindakan yang merendahkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, pelabuhan berkenaan pada asalnya dibina oleh Kerajaan Persekutuan menggunakan dana persekutuan sebelum diisytiharkan sebagai pelabuhan persekutuan pada 1979.
“Sepanjang tempoh ia berada di bawah pentadbiran persekutuan, hasil yang dijana telah memberikan pulangan signifikan kepada kerajaan persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, jelas beliau, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menyerahkan semula pelabuhan tersebut kepada Sarawak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memenuhi tuntutan dan hak negeri di bawah MA63.
Beliau turut menjelaskan bahawa nilai RM1.8 bilion adalah berdasarkan penilaian aset semasa dan tidak wajar dianggap sebagai kerugian kepada Sarawak.
“Pelabuhan ini mempunyai potensi besar sebagai sumber pendapatan strategik yang mampu menjana pulangan jangka panjang, sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pelabuhan Bintulu dijangka memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelan pembangunan kluster pelabuhan negeri di bawah seliaan Lembaga Pelabuhan Sarawak.
Tambah beliau, pendekatan bersepadu itu akan membantu menyelaras pengurusan semua pelabuhan di Sarawak dengan lebih efisien dan sistematik.
“Fokus utama harus diberikan kepada manfaat masa depan, termasuk peningkatan pelaburan, peluang pekerjaan dan pengukuhan kedudukan Sarawak sebagai hab logistik serta perdagangan utama di rantau ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting