
SIBU: Penganjuran Bazar Tahun Baharu Cina buat kali pertama selepas pandemik COVID-19 berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung sekali gus menyemarakkan suasana perayaan tersebut di bandar ini.
Program yang diadakan selama 24 jam itu merupakan inisiatif saat akhir oleh MPS sebagai usaha menghidupkan kembali suasana perayaan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Runcit MPS, Kaunselor Jenny Ting Hua Hung, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila kawasan tapak jualan dan tempat letak kereta telah penuh seawal 2.30 pagi.
“Saya datang sekitar 5.30 pagi dan tempat letak kereta sudah penuh. Ini menunjukkan orang ramai teruja dengan penganjuran bazar ini,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak bazar tersebut, hari ini.
Beliau memberitahu, sebanyak 31 gerai pada awalnya mendaftar untuk menyertai program tersebut, namun terdapat beberapa pembatalan saat akhir menjadikan jumlah keseluruhan sedikit berkurangan.
“Walaupun persiapan dibuat pada saat akhir dan jumlah gerai tidak terlalu banyak, kita tetap gembira kerana sambutannya sangat positif,” ujarnya.
Tambahnya, antara gerai yang mengambil bahagian termasuk tiga gerai Melayu yang menjual makanan seperti ayam kari, rendang serta pelbagai jenis minuman, sekali gus mencerminkan penyertaan pelbagai kaum.
Beliau berharap program berkenaan dapat diperluaskan pada tahun hadapan dengan skala lebih besar, termasuk penambahan pencahayaan dan penyertaan lebih banyak gerai.
“Kita mahu mewujudkan suasana seperti laluan pejalan kaki yang meriah dan memberi ruang kepada orang ramai untuk bertemu serta berinteraksi. Bukan sahaja masyarakat Cina, malah komuniti lain juga dialu-alukan untuk turut serta,” jelasnya.
Katanya, pihaknya akan berbincang lanjut dengan pihak majlis bagi menambah baik penganjuran pada masa akan datang dan terus meningkatkan suasana setiap perayaan di kawasan tersebut.
“Kita berharap inisiatif ini dapat menjadi platform untuk menyatukan komuniti dan membangkitkan lagi suasana perayaan di Sibu,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Pengerusi MPS, Clarence Ting Ing Hort dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS, Kaunselor Yiing Sy Huat.
Oleh Akun Giman