
LIMBANG: Pekan kecil Nanga Medamit dan Tedungan memerlukan kemudahan balai bomba bagi meningkatkan kecekapan serta kepantasan operasi menyelamat, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata kemudahan tersebut amat diperlukan bagi memastikan masa tindak balas yang lebih cepat ketika kecemasan di kawasan terpencil, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda.
“Saya berharap ada perancangan untuk membina balai bomba di kawasan Medamit dan Tedungan kerana jika berlaku kebakaran di kawasan luar bandar berkenaan, masa untuk tiba di lokasi kejadian adalah lebih singkat berbanding pasukan yang datang dari bandar Limbang.
“Ketika ini, kawasan luar bandar tersebut masih belum mempunyai kemudahan balai bomba,” katanya ketika berucap pada Program Sedia Urus Isi Rumah (SURI) Peringkat Bahagian Limbang 2026 di Dewan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), petang tadi.

Turut hadir ialah Ketua Bomba Zon Tujuh, Penguasa Bomba Ramlan Marajan serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Limbang merangkap Penyelaras Program, Timbalan Penguasa Bomba Dua Mohamad Hamdani Madon.
Beliau menegaskan langkah tersebut penting bagi memastikan tahap keselamatan penduduk luar bandar setanding dengan penduduk di kawasan bandar.
Menurutnya, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Komuniti perlu terus diperkasakan sebagai benteng awal sebelum ketibaan pasukan bomba tetap, selain bertindak sebagai pasukan tindak balas awal dalam membantu operasi menyelamat.
Pada masa sama, beliau berkata pemerkasaan tersebut bertujuan mempercepatkan tindak balas awal terhadap kebakaran dan kecemasan sebelum ketibaan pasukan bomba tetap.
Oleh Adeng Edrus