
LIMBANG: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (Saberkas) Cawangan Bukit Kota bagi 2026.
Beliau, yang juga Pengerusi Saberkas Cawangan Bukit Kota, mengumumkan perkara itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Saberkas Cawangan Bukit Kota Bil. 1/2026 di Anjung Usahawan Limbang semalam.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah laporan kewangan serta aktiviti yang telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Saberkas Cawangan Bukit Kota bagi Sesi 2023–2026, termasuk persiapan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Unit dan Cawangan serta perancangan penganjuran program untuk 2026.
Saberkas Cawangan Bukit Kota berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti dan program sepanjang tahun lalu, dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan modal insan serta belia di Limbang.
Hadir sama Naib Pengerusi I Saberkas Cawangan Bukit Kota, Kaunselor Sufian Mohat; Naib Pengerusi II, Suhaimi Mohamad; Setiausaha, Rosmaini Mail; dan Bendahari Saberkas Cawangan Bukit Kota, Hikmal Fariatin Mohd Ali Saufi.
Oleh Adeng Edrus