
ISTANBUL: Emirates semalam memaklumkan bahawa penerbangan berjadual terakhirnya dari Algeria ditetapkan 3 Februari 2027, dan operasi antara kedua-dua negara masih berjalan seperti biasa buat masa ini, lapor Anadolu Ajansi, memetik akhbar tempatan.
Syarikat penerbangan milik kerajaan itu berkata penerbangan ke dan dari Algeria beroperasi mengikut jadual yang diluluskan, tanpa kesan serta-merta terhadap perkhidmatan.
Ia menasihatkan pelanggan yang mempunyai tempahan supaya meneruskan rancangan perjalanan seperti biasa, susulan keputusan Algeria minggu lalu untuk memulakan prosedur menggantung perkhidmatan udara antara kedua-dua negara.
Emirates berkata, ia akan mematuhi sepenuhnya sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan dan akan memaklumkan pelanggan, kakitangan serta rakan kongsi mengenai sebarang perubahan sekiranya keadaan berubah.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan penerbangan terakhir yang kini dalam jadualnya ialah EK757, berlepas dari Algeria 3 Februari 2027. Ia memohon maaf atas sebarang kesulitan dan menggesa pelanggan yang rancangan perjalanan mereka mungkin terjejas selepas tarikh itu supaya mempertimbangkan aturan alternatif melalui ejen tempahan masing-masing.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Umum berkata kira-kira seminggu lalu bahawa tiada kesan serta-merta terhadap penerbangan selepas Algeria mengumumkan langkah untuk membatalkan perjanjian perkhidmatan udara dua hala.
Pihak berkuasa itu berkata ia menerima pemberitahuan rasmi daripada Algeria dan memaklumkan bahawa langkah itu mengikut prosedur yang ditetapkan dalam perjanjian antarabangsa, sambil menambah operasi akan diteruskan sepanjang tempoh notis yang ditetapkan oleh undang-undang.
Agensi berita negara Algeria, APS, berkata perjanjian perkhidmatan udara itu ditandatangani di Abu Dhabi 13 Mei 2013 dan diratifikasi melalui dekri presiden 30 Disember 2014. Pihak berkuasa Algeria tidak mendedahkan alasan bagi keputusan tersebut.
Di bawah Perkara 22 perjanjian itu, mana-mana pihak perlu memaklumkan penamatan kepada pihak satu lagi melalui saluran diplomatik serta turut memaklumkan Setiausaha Agung Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Perjanjian itu membenarkan pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara melantik satu atau lebih syarikat penerbangan untuk mengendalikan laluan yang dipersetujui dan memperuntukkan penggantungan atau pembatalan lesen operasi sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa. – Bernama