
SIBU: Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai pengeluar utama makanan dan seterusnya menjadi pengeksport bersih melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah negeri, Stephen Rundi Utom berkata, tahun pertama pelaksanaan pelan pembangunan itu amat kritikal bagi memastikan penyampaian sektor agromakanan benar-benar berasaskan hasil serta memberi impak yang boleh diukur.
“Sektor agro makanan kini menyumbang kira-kira 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, bersamaan hampir RM50 bilion setahun, namun potensinya masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Pertanian tidak boleh lagi bergerak secara rutin. Setiap bahagian perlu mempunyai pelan jelas dengan garis masa dan sasaran yang terukur,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Penilaian Tahun 2025 Jabatan Pertanian Sarawak di sini, semalam.

Beliau menegaskan, cabaran keselamatan makanan yang semakin kompleks di peringkat global menuntut pendekatan lebih proaktif serta kepimpinan yang berakauntabiliti.
Antara sasaran jangka panjang yang digariskan ialah mengeksport sekurang-kurangnya 450,000 tan metrik produk pertanian setahun menjelang 2030, selain memastikan 25 peratus keperluan ternakan dapat dihasilkan dalam negeri.
“Tempoh Januari hingga Mac amat penting dalam pelaksanaan program pertanian bagi memastikan inisiatif tidak terganggu musim perayaan, dengan setiap program diberi keutamaan dan pemantauan rapi,” ujarnya.
Mengulas cabaran tenaga kerja, beliau berkata majoriti petani di negeri ini terdiri daripada golongan berusia, malah ada yang mencecah 70 hingga 80 tahun, manakala penyertaan belia masih rendah.
Sehubungan itu, seramai 60 belia akan dihantar ke Australia bagi mendapatkan pendedahan kepada amalan pertanian moden, termasuk penggunaan teknologi pintar, dron, mekanisasi penuh serta pertanian tepat.
Beliau menegaskan, walaupun lebih 70 program dilaksanakan oleh jabatan berkenaan, keutamaan mesti diberikan kepada keberkesanan penyampaian dan impak nyata kepada komuniti luar bandar.
“Tiada yang mustahil jika kita bekerja secara proaktif dan berdisiplin. Setiap peruntukan di bawah RMK-13 perlu dibelanjakan secara berhemah demi menjadikan Sarawak pengeluar makanan yang berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting