Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • KMKK Simanggang digesa patuhi garis panduan, tingkat komitmen seiring kenaikan elaun
  • WILAYAH

KMKK Simanggang digesa patuhi garis panduan, tingkat komitmen seiring kenaikan elaun

Utusan Sarawak 6 hours ago
 TIMBALAN Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Francis Harden Hollis semasa Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan KMKK bagi kawasan DUN Simanggang yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat beliau, baru-baru ini. Foto ADUN Simanggang

SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis mengingatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang telah diiktiraf kerajaan supaya memainkan peranan aktif dengan mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan melalui Pejabat Daerah.

​Beliau menekankan bahawa setiap Ketua Kaum wajib mengemas kini profil kampung masing-masing dan memastikan mesyuarat diadakan sekurang-kurangnya enam kali setahun. 

Arahan ini katanya adalah penting bagi memastikan tadbir urus di peringkat akar umbi berjalan lancar dan sistematik mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

​Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan KMKK bagi kawasan DUN Simanggang yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat beliau, baru-baru ini.

​Seramai 47 penerima terlibat dalam majlis tersebut, merangkumi empat Ketua Masyarakat yang disambung perkhidmatan, empat pelantikan baharu, serta 39 pelantikan lanjutan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan di kawasan berkenaan.

TIMBALAN Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Francis Harden Hollis semasa Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan KMKK bagi kawasan DUN Simanggang yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat beliau, baru-baru ini. Foto ADUN Simanggang

​Dalam ucapan ringkasnya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelantik dan menghargai kesediaan mereka menggalas cabaran sebagai jambatan penghubung utama antara pihak kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

​Harden turut menitikberatkan penglibatan Ketua Kaum selaku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam menghadiri program-program rasmi kerajaan dan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi mendapatkan maklumat sahih secara langsung.

​Menyentuh soal kebajikan, beliau memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak telah bersetuju menaikkan gaji Ketua Masyarakat dan elaun Ketua Kaum berkuat kuasa Januari tahun ini sebagai tanda penghargaan atas beban tugas yang dipikul.

​Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa dengan peningkatan imbuhan tersebut, KMKK sewajarnya meletakkan komitmen yang lebih tinggi dalam melaksanakan tugas agar sentiasa selari dengan arus polisi kerajaan semasa.

​Beliau juga mengingatkan bahawa kekuatan seseorang Ketua Kaum terletak pada sokongan padu penduduk, memandangkan tanpa kerjasama komuniti, adalah sukar bagi mereka menjalankan tanggungjawab dengan berkesan di kawasan jagaan masing-masing.

​Tambah beliau, pemimpin akar umbi perlu memiliki pengetahuan luas mengenai dasar kerajaan serta mengamalkan gaya kepimpinan yang tegas dan adil, namun tetap mengutamakan budi bicara dalam membuat keputusan bagi mengelakkan sebarang konflik.

​Terdahulu, majlis dimulakan dengan sesi Lafaz Ikrar Integriti yang diketuai oleh Tuai Rumah Jubin Hilton Muda bagi menyuntik semangat amanah dalam kalangan KMKK agar sentiasa mendahulukan tanggungjawab dengan penuh integriti.

​Majlis diakhiri dengan penyampaian Sijil Penghargaan kepada isteri Allahyarham Ketua Kaum RPR Fasa 1, Shara’ai Abdul Rahim, sebagai penghormatan atas khidmat bakti beliau yang meninggal dunia pada November tahun lalu ketika masih dalam perkhidmatan.

​

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Kerja naik taraf gelanggang Taman Bumiko perlu dibaiki semula
Next: BDDA agih 9,000 anak ayam kepada 18 peserta penternakan di DUN Bukit Saban

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.