
BAU: Dua lelaki tempatan telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata operasi yang dikenali sebagai Op Angkasa itu dijalankan kira-kira 12.30 tengah hari tadi dan berjaya menahan dua suspek tempatan berumur 24 dan 31 tahun.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan telah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penglibatan dalam penyalahgunaan dadah dan menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau hotline JSJN Sarawak di 017-592 9211.
Pihak polis turut memberi jaminan akan terus komited dalam membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan keselamatan masyarakat terpelihara.
Oleh Connie Chieng