Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Padah jadi ‘tekong darat’, lelaki tempatan ditahan cuba seludup migran keluar
  • JENAYAH

Padah jadi ‘tekong darat’, lelaki tempatan ditahan cuba seludup migran keluar

Utusan Sarawak 5 hours ago
TANGKAPAN dilakukan oleh sepasukan polis daripada Pasukan Tindakan Khas IPD Lubok Antu semasa menjalankan Op Tapis/Pintas di Jalan Tuan Arundell, Pekan Lubok Antu, pagi semalam. Foto IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU: Tindakan seorang lelaki tempatan yang cuba membawa keluar seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan tikus membawa padah apabila dia ditahan pihak polis di Jalan Tuan Arundell, Pekan Lubok Antu, semalam.

Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis daripada Pasukan Tindakan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu semasa menjalankan Op Tapis/Pintas. 

Operasi tersebut bertujuan mengesan aktiviti penyeludupan migran serta sebarang bentuk jenayah berkaitan keselamatan awam.

Dalam kejadian itu, polis menahan motosikal jenis Yamaha Y16 yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan. 

Suspek utama dikenali sebagai seorang lelaki tempatan berusia lewat 50-an dipercayai bertindak sebagai ejen atau ‘tekong darat’ untuk menyeludup migran.

Individu kedua adalah seorang lelaki warga Indonesia berusia lewat 20-an yang cuba dibawa keluar ke negara asal melalui jalan tidak diwartakan. Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine melalui ujian saringan air kencing.

Pihak polis turut merampas barangan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti haram tersebut. Antara rampasan termasuk motosikal Yamaha Y16 dan tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM7,000.

IPD Lubok Antu, melalui kenyataan itu, menegaskan bahawa kedua-dua suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut. Mereka disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut IPD Lubok Antu, aktiviti penyeludupan migran sering membabitkan risiko keselamatan dan jenayah lain, termasuk penggunaan dadah serta pengangkutan melalui laluan tidak sah. Justeru, tindakan tegas terus diambil bagi memastikan kawasan ini selamat daripada kegiatan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan migran diminta menyalurkan maklumat mereka terus kepada IPD Lubok Antu melalui talian 083-584102. 

Kerjasama komuniti dianggap penting bagi membanteras jenayah rentas sempadan. Polis menegaskan bahawa setiap usaha penyeludupan migran bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga boleh membahayakan nyawa mangsa. 

Usaha pemantauan dan operasi berkala seperti Op Tapis/Pintas akan diteruskan di seluruh daerah Lubok Antu. Penduduk tempatan diingatkan agar sentiasa peka terhadap aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa. 

Kesedaran dan kerjasama awam adalah kunci untuk mengekang jenayah serta memastikan keselamatan komuniti terus terjamin.

Oleh Adi Safarman

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: SPRM akan buru orang tengah secara agresif, tangani pandemik rasuah dalam kerajaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.