
SARATOK: Penganjuran aktiviti sukan di peringkat akar umbi terus menjadi medium berkesan dalam mencungkil bakat baharu serta memperkasakan ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, inisiatif yang diambil oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kelab sukan dalam menganjurkan program seumpama itu amat dihargai dan perlu diteruskan.
Beliau menyifatkan penglibatan aktif kelab sukan membolehkan pelbagai aktiviti bermakna dilaksanakan di kawasan pedalaman, sekali gus memastikan penduduk setempat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sukan.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang mewakili ADUN Kalaka pada Majlis Perasmian Pertandingan Bola Sepak dan Tarik Tali di Padang Bolasepak Rumah Ikom Senyawan, baru-baru ini.
Program yang berlangsung meriah tersebut telah dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Vanture (VSRC) Saratok dengan penglibatan peserta yang amat menggalakkan.
Menurut Mohamad Duri, beliau dimaklumkan oleh Pengerusi VSRC Saratok, Lim Phin Chin, bahawa Pertandingan Bolasepak Tujuh Sebelah edisi 2.0 kali ini telah berjaya menarik sebanyak 30 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita.

Selain bola sepak, acara tarik tali turut mendapat sambutan hangat dengan penyertaan sebanyak tujuh pasukan lelaki dan enam pasukan wanita dari sekitar kawasan tersebut.
Bagi memeriahkan lagi suasana, penganjur turut mengadakan Pertandingan Karaoke yang melibatkan seramai 14 peserta, sekali gus menambah kepelbagaian aktiviti buat pengunjung yang hadir.
”Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada VSRC Saratok di atas kejayaan penganjuran program yang cukup meriah pada kali ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau menambah, penganjuran aktiviti seperti ini bukan sahaja memupuk minat terhadap sukan, malah menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat-bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Lebih menarik, program tersebut turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat apabila penduduk mengambil peluang untuk menjana pendapatan dengan membuka gerai jualan sepanjang acara berlangsung.
Turut hadir menyerikan majlis tersebut ialah Tuai Rumah Ikom Senyawan, Tuai Rumah Dom Brues Micheal Gomes dari Sungai Antu, serta barisan tetamu jemputan yang lain.
Oleh Adi Safarman